APMM Menahan 4 Lelaki Rohingya Dipercayai Dalang Penyeludupan PATI Di Langkawi

EMPAT lagi lelaki etnik Rohingya dipercayai dalang menyeludup masuk 202 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Langkawi, baru-baru ini ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).sajagempak.com - APMM Menahan 4 Lelaki Rohingya Dipercayai Dalang Penyeludupan PATI Di Langkawi

Kesemua mereka berusia 24 hingga 53 tahun dicekup dalam Ops Khas Dallah sekitar Kota Sarang Semut, Pendang dan Simpang Empat di Kedah pada 3 Mei lalu.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Kedah/Perlis, Kepten (M) Zulinda Ramly berkata, pihaknya mula menjejaki rangkaian sindiket penyeludupan PATI etnik Rohingya berkenaan sejak April lalu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mereka dipercayai dalang atau ejen yang terbabit dalam kes penyeludupan rakan senegara di perairan Langkawi pada 5 April lalu.

“Kesemua mereka ditahan susulan dari siasatan dua suspek yang ditahan di Simpang Empat dan Guar Chempedak pada 16 April serta 18 April lalu.

“Kita juga mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai dalang dalam kegiatan itu,” katanya pada sidang media di pejabat APMM Kuala Kedah di Kampung Berjaya, Alor Setar, hari ini.

sajagempak.com - APMM Menahan 4 Lelaki Rohingya Dipercayai Dalang Penyeludupan PATI Di Langkawi

Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya percaya PATI yang dibawa masuk ke negara ini perlu membayar sekurang-kurangnya RM15,000 setiap seorang.

Katanya, bayaran itu kemudian akan dibahagikan sesama ejen darat dan laut untuk mendapat keuntungan.

“Kita percaya ejen atau dalang ini tiada nombor akaun bank kerana mereka dipercayai menggunakan akaun bank warga tempatan untuk transaksi wang.

“Namun kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kegiatan itu,” katanya.

Katanya, suspek direman selama 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan Akta Imigresen 1959/63. – Harian Metro

Facebook Comments Box