Syarikat perusahaan Berlian yang dikenali sebagai Debswana mendapat durian runtuh apabila menemui batu berlian yang bersaiz luar biasa besar pada awal bulan ini.
Batu berlian 1.098 karat itu (berukuran panjang 73mm, lebar 52mm, dan tebal 27m) dipercayai merupakan batu berlian ketiga terbesar yang pernah ditemui oleh manusia di dunia setakat ini.
Batu berlian itu yang ditemui di Jwaneng ditunjukkan kepada Presiden Mokgweetsi Masisi dan kini dipamerkan di ibu kota Botswana, Gabarone.
Sebelum ini pada tahun 2015, negara Botswana juga menjadi tempat penemuan berlian kedua terbesar di dunia. 1,109 karat Lesedi La Rona (dijual pada harga USD53 Juta) yang sedikit lebih besar berbanding penemuan berlian kali ini yang masih belum diberikan nama.
Untuk rekod, negara Botswana adalah pengeluar berlian terbesar di benua Afrika dan berlian merupakan salah satu sumber pendapatan negaranya yang tinggi.
“Ini adalah berlian terbesar yang dijumpai Debswana dalam sejarahnya selama lebih dari 50 tahun beroperasi.
“Dari analisis awal kami, ia boleh menjadi batu permata ketiga terbesar di dunia,” kata Lynette Armstrong, pemangku pengarah urusan Debswana Diamond Company.
Syarikat Debswana merupakan usaha sama antara kerajaan dan gergasi berlian global De Beers, dan menjana pendapatan negara melalui dividen, royalti dan cukai, sehingga 80 peratus.
Menteri Sumber Asli Botswana, Lefoko Moagi berkata, ia adalah penemuan terbaik negara itu selepas pandemik Covid-19 menyaksikan penjualan berlian merosot tahun lalu.
Pemangku pengarah urusan Debswana Diamond Company.Armstrong berkata keputusan belum diambil mengenai apakah akan menjual berlian tersebut melalui De Beers atau syarikat milik kerajaan, Okavango Diamond.
Menurut rekod, berlian terbesar yang pernah ditemui oleh manusia ialah berlian Cullinan 3,106 karat yang dijumpai di Afrika Selatan pada tahun 1905.