Setiap pasangan yang berkahwin hendaklah sentiasa mengutamakan hati dan perasaan pasangan masing-masing demi menjalani rutin berumahtangga seharian. Namun begitu, kadang-kadang ada jenis pasangan yang lebih mengutamakan benda lain seperti hobi dan minat mereka hingga melebihi pasangan mereka.
Kalau sekali sekala mungkin tiada apa-apa, tapi bahaya sekiranya dibiarkan berterusan. Seperti kejadian yang berlaku di Indonesia baru-baru ini apabila seorang isteri tekad melakukan sesuatu kerana cemburu.
Suami kepada wanita ini mempunyai minat untuk memelihara ikan-ikan hiasan untuk dipelihara dalam rumah hinggakan si isteri sering merasa dirinya kurang dipedulikan.
Satu hari, si isteri bertindak menggoreng semua ikan hiasan peliharaan suaminya yang sebanyak 80 ekor!
Dalam klip video yang ditularkan, sekumpulan ikan-ikan perhiasan yang dari spesis mahal sedang dilihat berenang-renang dalam akuarium.
“Semuanya kerana ikan, ikan lagi. Apa-apa ikan. Sebaiknya kita goreng sahaja ikannya? Kan sedap,” katanya.
Wanita ini kemudiannya mengambil dan memasukkan ikan-ikan peliharaan suaminya itu kedalam kuali untuk digoreng. Meskipun tahu suaminya pasti akan marah dan bengang kepadanya, namun wanita ini ternyata sudah nekad.
Wanita ini kemudian memberitahu suaminya sudah terlalu pentingkan ikan-ikan tersebut sampaikan banyak perancangan mereka contohnya nak pergi ke mana-mana tempat yang kemudian terpaksa dibatalkan secara tiba-tiba. Pernah mereka merancang untuk ke puncak tetapi suaminya memberitahu mahu shopping, alih-alih pergi ke kedai ikan dan membeli ikan baru.
Perbuatan wanita ini kemudiannya diketahui oleh suaminya yang kemudian merajuk apabila kehilangan 80 ikan kesayangannya begitu sahaja. Ditanya sepatah dijawabnya sepatah.
Namun begitu si suami beransur-ansur kembali tenang seperti biasa selepas beberapa hari. Dalam perkongsian terbaru, difahamkan suaminya sudah membawa beberapa ekor ikan baru masuk ke akuarium.