Jakarta: Penduduk di Desa Sukaratu, Cianjur di Jawa Barat, terkejut apabila menemui campuran plastik di dalam beras yang diagihkan menerusi bantuan sosial.
Dengan ukurannya yang menyamai beras sebenar, ia dicampurkan di dalam kampit beras yang diberikan kepada golongan memerlukan, lapor Detiknews.
Selain beras, penduduk juga menerima sumbangan seperti telur, daging dan minyak. Beras plastik berkenaan berbentuk nipis, memanjang dan lut sinar menyebabkan ia tidak dapat dikesan kerana bercampur beras tulen.
Penduduk, Ridwan Yulianto, memberitahu media tempatan, campuran beras plastik itu tidak dapat dibezakan kerana bercampur dengan beras sebenar.
“Ia agak melekit dan selepas dimasak, baru tahu ia plastik. Selepas diperiksa, ia beras daripada bantuan diterima. Setiap beg ada puluhan butir beras plastik. Apabila diperiksa, kami jumpa ada puluhan butir beras plastik,” katanya.
Kejadian itu tidak hanya berlaku di tempatnya, malah kawasan lain yang menerima beras bantuan itu juga mengalami masalah sama.
Sementara itu pentadbir daerah Cianjur, Herman Suherman berkata, pihaknya mengarahkan siasatan dijalankan berhubung isu itu.