Semasa zaman kanak-kanak, anda mungkin pernah mendengar cerita dongeng mengenai lampu Aladdin yang sangat popular dari dulu sampai sekarang, lebih kurang sama seperti kisah Cinderella, Snow White dan sebagainya.
Kisah lampu Aladdin ini secara ringkasnya adalah mengenai satu lampu ajaib yang dihuni satu jin yang boleh menunaikan hasrat sesiapa yang menggosok lampu tersebut.
Apabila sudah meningkat remaja dan dewasa, anda pasti sudah tahu bahawa lampu sedemikian tidak wujud dunia ini dan hanyalah kisah dongeng yang menarik.
Tapi, walaupun begitu, masih ada juga orang yang mempercayai kewujudan lampu Aladdin tersebut. Baru-baru ini, tular mengenai seorang doktor di India mahu membeli lampu ‘Aladdin’ yang dijual oleh dua orang lelaki.
Dua lelaki tersebut meletakkan harga AS$200,000 (RM430,000) untuk lampu ‘Aladdin’ yang didakwa dimiliki mereka. Doktor berkenaan telah membayar lebih RM170,000 wang pendahuluan kepada mereka.
Menurut Doktor tersebut, dia bertemu dengan suspek ketika sedang merawat seorang wanita yang didakwa ibu kepada dua lelaki berkenaan.
“Mereka memberitahu saya tentang dewa yang mengunjungi rumah mereka, dan mempengaruhi saya untuk datang ke rumah untuk melakukan ritual” Di rumah, dia melihat sendiri ‘Aladdin’ muncul di depan matanya dalam satu ritual, sebelum menyedari ianya adalah salah seorang suspek berpakaian seperti Aladdin.
Doktor itu kemudian menyedari dirinya ditipu dan membuat aduan polis di Meerut, barat Uttar Pradesh. Susulan aduannya, dua lelaki yang menipunya telah berjaya diberkas manakala polis masih mencari seorang lagi wanita yang bersubahat dengan menyamar sebagai ibu mereka.