Selepas lebih seminggu dirawat di Hospital Melaka akibat jangkitan COVID-19, Alif Satar bersyukur dirinya menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
Menurut bapa anak tiga ini, doktor melakukan ujian darah antara tiga hingga empat kali sejak mula dimasukkan ke wad.
“Sudah menjadi prosedur di mana doktor kerap mengambil sampel darah untuk diuji bagi mengetahui perkembangan pesakit.
“Prosedur ini perlu dilakukan bagi memeriksa sama ada Alif dan pesakit mempunyai komplikasi tertentu seperti radang paru-paru atau kerosakan organ akibat jangkitan COVID-19.
“Saya lakukan sekali lagi ujian darah, kelmarin. Insya-Allah, jika tiada apa-apa yang menyulitkan, saya akan dibenarkan pulang ke Kuala Lumpur, tidak lama lagi,” katanya.
Tambah penyanyi lagu I Want You To Love Me itu, doktor dan kakitangan perubatan Hospital Melaka memberi layanan terbaik untuknya dan pesakit lain sejak dikuarantinkan.
“Kalau ada yang perasan, saya ada memuat naik entri di Instagram (IG) memaparkan gelagat comel jururawat.
“Mereka tulis nota tertera ‘Alif kamu jangan nakal nakal’ (lirik lagu Jangan Nakal dendangan Alif),” katanya.
Sementara itu, Alif berkata, ibu bapa, adik dan datuknya yang sebelum ini disahkan positif COVID-19, sudah dibenarkan pulang. Alif mengaku rindu berjauhan dengan isteri dan anak tersayang.
“Ini ujian paling hebat dan teruk merindukan insan tersayang. Perasaan ini berbeza apabila kita berjauhan kerana bekerja.
“Memang tidak rela ujian ini, tetapi terpaksa dilalui,” katanya.
Alif percaya ada hikmah terselindung di sebalik apa yang terjadi.
“Ada sebab saya diuji. Mungkin sebelum ini, pesakit COVID-19 tidak ada suara untuk menzahirkan apa yang dilalui.
“Ini termasuk stigma dan pandangan orang terhadap pesakit dan bekas pesakit COVID-19. Insya-Allah saya cuba guna platform yang ada seperti IG untuk berkongsi pengalaman dan mendidik masyarakat.
“Sebenarnya, kita patut sokong mereka yang terkesan dan bukan dengan memulaukan atau memberi pandangan serong,” katanya.
Pada 22 November lalu, Alif membuat kejutan melalui entri IG apabila mengesahkan laporan ujian saringan COVID-19 yang dibuat ke atasnya, menunjukkan keputusan positif.
Sumber: Berita Harian