Budak Perempuan Maut, Tertinggal Hampir 10 Jam Dalam Kereta

SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemui meninggal dunia selepas tertinggal di dalam kereta bapanya yang diletakkan di tempat kerja di Bukit Makmur, Sungai Lalang di sini, petang semalam.sajagempak.com - Budak Perempuan Maut, Tertinggal Hampir 10 Jam Dalam Kereta

Kejadian disedari oleh bapa kanak-kanak itu yang bekerja sebagai pemandu lori ketika ingin pulang ke rumah pada 6.20 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata mangsa dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan itu hampir 10 jam dalam keadaan tingkap tertutup dan enjin kereta dimatikan.

“Sebelum itu bapa mangsa yang berusia 30-an itu menghantar kakak mangsa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bayu, di sini pada 7.30 pagi dan terus ke tempat kerjanya di Bukit Makmur, Sungai Lalang.

“Bapanya terlupa bahawa mangsa berada di dalam kereta dan sedang tidur di bahagian tempat duduk belakang.

“Mangsa sepatutnya dihantar ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir sebelum lelaki itu ke tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Adzli berkata, selepas sampai di tempat kerja, bapa mangsa kemudian keluar memandu lori ke beberapa kawasan sebelum pulang semula ke kilang berkenaan jam 4.30 petang.

Katanya, selepas sampai di kilang, bapa mangsa terus masuk ke dalam kilang dan menguruskan kerja di dalam bangunan.

“Ketika tiba di kereta sewaktu ingin pulang, bapa mangsa melihat mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian tempat duduk belakang kereta.

“Lelaki itu terus membuat panggilan kecemasan untuk memaklumkan kejadian itu, bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat yang dijangka dilakukan pada 10 pagi ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – BH Online

Facebook Comments Box