Butik Untung Besar Tipu Orang Kaya Dan VIP

Butik pakaian mewah yang menjadi tumpuan golongan kaya dan VIP berikutan setiap helai pakaian dijual berharga ribuan ringgit sehelai. Namun tanpa disedari kesemua pakaian dijual sebuah butik di Bangsar di sini, adalah fabrik cetak rompak sekaligus membolehkan pemilik premis mengaut keuntungan besar.Butik Untung Besar Tipu Orang Kaya Dan VIP

Difahamkan butik menjual pakaian mewah jenama terkenal antarabangsa cetak rompak itu, memperagakan pelbagai jenis pakaian yang hampir menyamai kualiti produk tulen sebenar.

Penipuan licik itu bagaimanapun terbongkar selepas sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya menyerbu dan merampas pakaian berjenama tiruan itu semalam.

Timbalan Pengarah ( Operasi) Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya, Rosli Ahmad berkata, operasi serentak turut dilakukan di dua lagi cawangan premis itu di Dataran Pahlawan Melaka dan Tanjung Bungah Pulau Pinang jam 12 tengah hari.

Menurutnya, tiga pasukan membabitkan 18 anggota penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya, Melaka dan Pulau Pinang bersama wakil pemilik cap dagang terbabit dalam serbuan itu.

“Dalam ketiga-tiga pemeriksaan dilakukan di premis menjual pakaian berjenama itu, sejumlah 1,075 helai pakaian berjenama terkenal antarabangsa tiruan dirampas.

“Semua pakaian `mewah’ itu dianggarkan bernilai hampir RM600,000. Pemeriksaan mendapati pakaian tiruan itu dibawa masuk dari luar negara dan memiliki kualiti menyerupai produk tulen,” katanya.

Beliau berkata, ramai pelanggan tidak menyedari ditipu apatah lagi produk berkenaan dijual pada harga sama seperti produk tulen yang mencecah ribuan ringgit sehelai.

Butik Untung Besar Tipu Orang Kaya Dan VIP

“Kami turut merampas sebuah kenderaan Honda CRV yang digunakan untuk menyembunyikan pakaian jenama tiruan berkenaan.

“Dalam tiga serbuan itu, kami menahan tiga individu bagi membantu siasatan kes. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019, atas kesalahan mempunyai dalam milikan atau kawalannya barang-barang cap dagangannya dipakai dengan salah untuk tujuan perdagangan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Facebook Comments Box