Seorang wanita menderita hidup dengan tumor gergasi di badannya selama 18 tahun, demikian menurut anaknya. Ibunya yang kini berusia 56 tahun pada mulanya menyangka dia ada masalah gastrik dan mengambil ubat untuk mengatasinya sebelum disahkan mempunyai tumor aktif pada 2004.
Wanita ini juga kemudiannya berdepan dengan masalah berat badan yang tidak dapat dijelaskan bermula pada bahagian perutnya.
Ketika dia disahkan mempunyai tumor, pakar perubatan cuba membuang tumor itu menerusi pembedahan pada tahun yang sama namun usaha mereka tidak dapat diteruskan. Hal ini disebabkan doktor menyedari bahawa tumor itu ‘melekat’ pada beberapa organ dalaman utama wanita berkenaan, termasuk buah pinggang, paru-paru dan usus.
Wanita ini kemudiannya merujuk dengan beberapa doktor pada tahun-tahun seterusnya. Namun, dia tidak berjaya mendapatkan sebarang keputusan manakala tumor di badannya terus membesar dari semasa ke semasa.
Akibatnya, wanita ini berdepan dengan masalah pergerakan dan organ dalamannya terkesan dan mengakibatkannya mengalami kesakitan yang teruk dan tidak dapat bangun dari katil.
Wanita memiliki tumor gergasi seberat 47kg ini akhirnya meluahkan rasa lega selepas tumor tersebut yang menyumbang lebih kurang separuh daripada berat badannya berjaya dikeluarkan. Wanita ini juga memberitahu bahawa dia hampir lupa bagaimana rasa tidur dengan selesa dan berjalan dengan betul.
Menurut laporan, tumor yang dimiliki wanita dari India itu sebenarnya mencecah 54kg jika mengambil kira berat lebihan kulit dan tisu dinding perutnya.
Pakar bedah gastroenterologi Dr Chirag Desai memberitahu Times of India, beliau tidak dapat merekodkan berat pesakit sebelum pembedahan kerana wanita berkenaan tidak dapat berdiri tegak.
Walaubagaimanapun, berat wanita tersebut selepas pembedahan adalah 49kg dan menurut Dr Chirag Desai lagi, keadaan ini jarang berlaku kerana berat tumor adalah lebih berat daripada berat badan seseorang.