Sebut saja buaya, mesti dalam fikiran ramai akan terbayang seekor haiwan menggerunkan dan boleh bertindak agresif kepada manusia. Kebanyakkan orang akan terus lari lintang-pukang jika terserempak dengan buaya. Namun lain pula ceritanya seperti yang berlaku di negara seberang.Sebuah keluarga menjadikan seekor buaya sebagai ahli keluarga dan memelihara reptilia itu di rumah mereka.
Media tempatan melaporkan haiwan itu dilayan seperti manusia termasuk diberikan tempat tidur dengan selimut dan bantal kerana dianggap sebagai kembar manusia.
Berukuran dua meter, buaya itu dikatakan tidak mendatangkan bahaya menyebabkan ia diletakkan di dalam rumah.
Ia ditemui di bawah jambatan di Sungai Tello sebelum dibawa pulang untuk dipelihara.
Keluarga berkenaan yang tinggal di Jalan Paccinang, Tello Baru di daerah Panakukkang tidak mahu meletakkan buaya itu di dalam kurungan.
Wakil polis, Muhammad Kasim berkata, keluarga itu lebih senang meletakkan buaya itu di dalam rumah kerana yakin ia tidak mengancam mereka.
“Mereka percaya buaya itu tidak akan mengganggu orang lain, apatah lagi keluarga sendiri,” katanya.
Video mengenai buaya itu tular di media sosial selepas orang ramai mengusap badan haiwan berkenaan.
Menurut cerita penduduk tempatan, terdapat mitos di kepulauan Sulawesi dimana penduduknya percaya terdapat keluarga dari kembar manusia dimana salah satu anak yang dilahirkan, satu daripadanya akan berubah menjadi buaya.