Di dunia ini hampir di setiap tempat kita akan melihat kucing-kucing terbiar di jalanan berpunca daripada pelbagai sebab sama ada dibuang, diabaikan,sesat dari rumah mahupun tidak bertuan.
Menurut laporan The Thaiger, sebanyak lebih seribu ekor kucing hidup terbiar di Koh Phi Phi yang merupakan gugusan pulau kecil terletak dalam wilayah Krabi.
Kucing-kucing ini dipercayai ditinggalkan pemiliknya yang kemungkinan besar bekerja atau merupakan usahawan di Koh Phi Phi dan mereka terpaksa meninggalkan tempat berkenaan disebabkan pandemik yang menjejaskan aktiviti perlancongan di kawasan berkenaan.
Seorang sukarelawan yang dikenali sebagai Suda Klinchuen berkata kebanyakan pemilik haiwan itu bagaimanapun tidak kembali ke pulau tersebut untuk mengambil kucing mereka selepas mendapat maklumat bahawa pelancong tidak akan datang ke Koh Phi Phi dalam masa yang terdekat.
Pegawai tempatan cuba mengawal populasi kucing dengan melakukan kaedah kasi (neuter) secara besar-besaran, namun ia tidak berkesan.
Ribuan kucing di jalanan ini kelaparan dan sentiasa mencari makanan kerana tuan mereka yang memberi mereka makanan sleama ini tiada di situ.
Menurut Suda Klinchuen, satu tabung sumbangan telah diwujudkan untuk orang ramai memberikan sumbangan bagi membeli makanan untuk kucing-kucing ini.
Tambahnya lagi, para sukarelawan akan memberi makanan kepada kucing-kucing ini sebanyak dua kali dan usaha ini sudah dimulai sejak bulan Mac yang lalu.