Pelakon filem Nyonya Ronggeng, Yingli Tan mengakui berbangga menjadi anak Malaysia dan tidak kekok bercampur dengan pelbagai bangsa di negara ini. Menurut Yingli, 43, dia bertuah dibesarkan dalam pelbagai campuran budaya sehinggakan kehidupan hariannya turut dipengaruhi oleh adat dari etnik lain.
“Sebenarnya saya ada beberapa darah campuran… nenek saya merupakan baba nyonya dari Pulau Pinang, bapa saya Cina Malaysia, datuk pula dari China dan emak saya berdarah Thailand.
“Saya membesar dalam pelbagai bangsa serta budaya dan sudah terbiasa bercampur dengan pelbagai kaum sehinggakan sedikit sebanyak ia mempengaruhi kehidupan kami sekeluarga.
“Keluarga saya pun makan nasi pakai tangan… kadang-kadang kawan tanya eh you Cina kenapa makan pakai tangan, saya kata itu lebih sedap dari pakai sudu dan garfu,” katanya kepada mStar.
Yingli ditemui semasa majlis pelancaran filem Nyonya Ronggeng yang diadakan di The Ritz Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, bekas ratu cantik mewakili Malaysia di pertandingan Miss Chinese International 1997 ini berkata kepelbagaian kaum dan budaya itu membuatkan dia berminat untuk menerbitkan satu filem berkaitan Baba Nyonya.
“Karier lakonan saya lebih banyak di China, Hong Kong dan Singapura… jadi saya terfikir untuk hasilkan satu filem yang sesuai untuk tonjolkan keunikan negara kita.
“Permulaannya kita terbitkan cerita tentang baba dan nyonya serta budaya kaum Cina di negara ini, niat saya mahu tunjukkan kepada orang ramai mengenai budaya kita.
CEO Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri (tengah) bergambar bersama penerbit Datuk Seri Dr KC Lee (empat dari kanan), pengarah Raja Mukhriz (empat dari kiri) dan pelakon.
“Bagi saya filem ini sangat istimewa kerana ia mempromosikan keunikan etnik Baba Nyonya dari segi pakaian, makanan dan segalanya. Sebenarnya negara kita ini sangat unik dengan kepelbagaian budaya! Kalau bukan kita yang angkat, siapa lagi?,” ujarnya.
Filem Nyonya Ronggeng yang menelan kos produksi sebanyak RM6 juta bakal menjalani penggambaran bermula September ini.
Selain membawa watak utama, Yingli turut bertindak selaku penerbit bersama Datuk Seri Dr KC Lee dan menampilkan pengarah Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin sebagai sutradara.
Buat masa ini, produksi ZLK Production Sdn Bhd sedang meneliti dan mencari barisan pelakon yang sesuai untuk membintangi filem tersebut.
Sumber : mStar