Netizen di laman aplikasi TikTok dihebohkan dengan video pengakuan seorang gadis melalui akaunnya @bintangve_ yang berpuas hati apabila dapat membuatkan bapanya menceraikan ibu tirinya yang digelar perampas. Video yang ditonton lebih 1.3 juta kali itu turut mendapat banyak perhatian dan komen netizen.
Sebelum itu, kehidupan gadis yang dikenali sebagai Bintang itu benar-benar sengsara apabila difitnah macam-macam oleh ibu tirinya setelah dia kehilangan ibu kandungnya yang meninggal dunia gara-gara tidak sihat dan lumpuh.
Menceritakan semula insiden itu, Bintang memberitahu rumah tangga ibu bapanya mula retak semasa dia berusia lima tahun apabila arwah ibu kandungnya mempunyai kawan yang dikenali sebagai Tante M (Makcik M). Tante M selalu meluahkan masalah rumah tangga pada bapanya, padahal Tante M sudah mempunyai suami.
Dipendekkan cerita, Tante M akhirnya bercerai dengan suaminya kerana pasangan itu selalu mengalami masalah sehingga terjadinya keganasan dalam rumah tangga.
Sementara itu, ibu kandungnya berada dalam keadaan tidak sihat dan disahkan lumpuh. Di atas kesempatan itu, bapanya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Tante M secara senyap-senyap. Dia juga diminta oleh bapanya untuk memanggil Tante M sebagai Mama. Dia juga melihat gambar perkahwinan mereka lalu ditunjukkan kepada ibunya yang sedang sakit.
“Mak cuma terdiam dan menangis. Jantungnya lemah dan dibawa ke hospital. Tidak beberapa lama selepas itu, mak disahkan meninggal dunia,” katanya.
Pada awalnya, Bintang berprasangka baik yang Tante M akan melayaninya dengan baik. Tetapi sangkaan itu meleset apabila dia selalu difitnah dan ibu tirinya itu selalu mengadu tentang dirinya kepada bapa kononnya melakukan perbuatan yang dianggap tidak baik.
Si ibu tiri memfitnah Bintang melakukan maksiat di rumah sehingga sanggup tidur dengan lelaki berusia di hotel kerana pernah pulang lewat ke rumah, padahal dia sebenarnya menghadiri aktiviti di sekolah.
Lebih teruk lagi, Bintang juga pernah dikurung dalam bilik oleh ibu tirinya tanpa diberi makanan sehingga dia terpaksa meminta bantuan daripada rakannya. Malah, si ibu tiri juga memfitnah gadis itu mengumpat mengenainya kepada jiran tetangga, namun jiran-jirannya tidak percaya dengan tuduhan itu.
“Setelah aku tahu dia memfitnah aku, aku terus mengadu pada ayah dan menangis. Aku laporkan semua perbuatan Tante M ke atas aku selama ini,” katanya.
Bintang juga memberitahu yang dia tidak sanggup lagi berdepan dengan ibu tirinya sekiranya bapa dia masih mahu terus bersama perempuan itu dan dia akan keluar dari rumah.
Ini kerana kata Bintang, tempoh 10 tahun perkahwinan bapanya dengan wanita itu, dia berasa terseksa kerana terlalu dikongkong sehingga tidak boleh berkawan dengan orang lain.
“Ayah peluk aku, dia meminta maaf di atas semuanya. Dan ditakdirkan Tante M itu mengalami kemalangan. Dia fitnah aku di waktu subuh dan tidak beberapa lama selepas itu dia terbabit dalam kemalangan. Ayah terus pergi ke hospital dan terus jatuhkan talak,” cerita Bintang.
Sumber: The Reporter