JOHOR BAHRU: Kehilangan sumber pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, memaksa seorang lelaki yang tinggal di pondok bekas kantin lama di Jalan Lumba Kuda, di sini, memajak telefon pintarnya untuk membeli makanan.
Bagi Muhamad Farid Ibrahim, 34, yang berasal dari Kelantan, keputusan itu adalah pilihan terakhir bagi memastikan isteri, Siti Zaleha Ismail, 37, serta dua anak tirinya, Nur Aini Sofiya Mohd Azri, 16 dan Mohd Syazwan Imran Mohd Azri, sembilan tahun tidak kelaparan.
Walaupun memahami telefon bimbit penting dalam urusan kehidupan seharian, namun Muhamad Farid terpaksa berkorban selepas beliau yang hanya bekerja membaiki motosikal terputus sumber pendapatan.
“Saya tidak mempunyai banyak wang simpanan…saya terpaksa pajak telefon pintar beberapa minggu lalu dan duit berkenaan cukup untuk beli barangan makanan.
“Kami pernah dalam masa tiga bulan lalu hanya makan sehari sekali kerana tiada makanan yang diperolehi.
“Saya tidak kisah tidak dapat makan, tetapi saya cuba usaha supaya isteri dan anak-anak dapat makan biarpun sehari cuma sekali”, katanya ketika ditemui di pondoknya yang dikelilingi semak itu tidak sesuai dihuni kerana terdapat binatang berbisa, di sini, hari ini.
Muhammad Farid berkata, tindakannya memajak telefon pintar menyukarkan dirinya untuk memohon Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
“Sebelum ini, saya pernah dapat bantuan rakyat 1 Malaysia (BR1M) tetapi tahun lalu tidak dapat Bantuan Sara Hidup (BSH) tidak tahu mengapa, tahun ini Bantuan Prihatin Nasional (BPN) saya tidak dapat memohon sebab telefon tidak ada, hendak keluar takut kena tangkap.
“Saya tinggal pondok ini sudah setahun, selepas tidak mampu bayar rumah sewa dengan harga RM500. Selepas duduk sini, saya bawa isteri pada Julai tahun lalu. Masa itu saya ada pendapatan hasil kerja membaiki motosikal. Saya minta isteri bawa dua anak dari Kelantan pada akhir tahun lalu untuk duduk bersama kami,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum PKP, keluarganya menumpang masak di rumah jiran tetapi tidak dapat memasak kerana jiran terbabit pulang ke kampung.
“Saya tiada sedara mara di sini. Tetapi Alhamdulillah, ada insan bernama D Rajamohan, 53 yang saya panggil Uncle Babu bersama isteri yang mengambil berat hal kami sekeluarga.
“Saya malu kerana ada masa saya terpaksa makan dirumah Uncle Babu kerana tiada makanan dan anak-anak sudah lapar.
“Semasa anak-anak (anak tiri) Nur Aini Sofiya Mohd Azri, 16 dan Mohd Syazwan Imran Mohd Azri 9 datang ke sini, Saya memang sudah sediakan wang untuk sekolahkan mereka, tetapi wang itu sudah digunakan untuk membeli makanan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berkata bantuan barangan kering sudah diberi kepada keluarga Muhamad Farid.
“Barangan kering yang kita beri ini dijangka mampu bertahan selama dua bulan, Saya berharap keluarga ini dapat dibantu. Malah, kami sedia menawarkan pekerjaan kepada pasangan berkenaan,” katanya. – Berita Harian