Setiap orang yang mempunyai haiwan peliharaan sudah pasti tahu betapa peritnya perasaan apabila haiwan kesayangan kita tiba-tiba hilang tanpa diketahui entah kemana. Seringkali kila mendengar atau membaca posting pemilik mencari haiwan peliharaannya yang hilang di media-media sosial seperti di Facebook, Twitter, Tiktok, Instagram dan sebagainya.
Kisah yang berlaku di luar negara mengenai seekor kucing yang hilang selama 14 bulan telah menjadi tular dan mencuri perhatian netizen. Kucing yang diberi nama Clive itu telah hilang selama 14 bulan sebelum akhirnya ditemui dalam keadaan yang tidak disangka-sangka.
Sebelum ini, pemiliknya Tanya dan Jonathan telah membuat status di facebook memaklumkan mengenai kehilangan kucing mereka, malah mereka juga turut melekatkan poster-poster di kawasan kejiranan dengan harapan agar kucing mereka berjaya ditemui.
Namun usaha mereka tidak berhasil dan mereka terfikir jika ada orang yang mengambil kucing mereka kerana Clive sememangnya sangat comel.
Di sebuah kilang makanan haiwan yang terletak berhampiran rumah mereka, pekerja. kilang menyedari makanan seringkali hilang dan selalu ternampak seekor kucing besar berlari keluar masuk klang mereka. Akhirnya, kucing tersebut berjaya ditangkap selepas para pekerja kilang memasang perangkap.
Kucing itu kemudiannya dibawa ke doktor haiwan dan ketika mengimbas microcip kucing tersebut, doktor telah berjaya mengenalpasti pemiliknya.
Ternyata pemiliknya adalah Tanya dan Jonathan manakala kucing itu rupa-rupanya adalah Clive yang sudah hilang selama 14 bulan! Ketika teruja bertemu semula dengan kucing mereka (Clive), Tanya dan Jonathan terkejut melihat saiz badan Clive yang besar, lebih dua kali ganda dari saat kali terakhir mereka melihatnya.
“Clive berusia sembilan bulan apabila kami kehilangannya – dulu dia lebih kecil. Apabila dia kembali, kami terkejut melihat betapa besar dan gebunya dia. Dia telah menjalani kehidupan seperti raja di kilang makanan haiwan itu.”
Meskipun badan sudah menjadi besar, Clive ternyata masih lagi mengenali pemiliknya serta ahli keluarga di rumah.