Seorang bapa terkejut apabila menerima bil Apple iTunes sebanyak RM7410. Lelaki dari Wales utara ini bingung macam mana bilnya boleh setinggi itu sedangkan dia tidak melakukan atau membeli apa-apa yang luar biasa.
Dia pada mulanya mengesyaki dirinya kemungkinan menjadi mangsa ‘scammer’, namun selepas menyiasat, lelaki ini yang dikenali sebagai Muhammad Mutaza, 41 akhirnya menyedari punca dia memperoleh bil sebanyak itu.
Punca ialah perbuatan anak lelakinya yang bernama Ashaz yang menggunakan akaunnya untuk membeli barangan di dalam permainan video Dragons: Rise of Berk.
Rupanya anak lelakinya telah menghafal kata-kata laluan akaun iTunes miliknya dan membuat sebanyak 29 pembelian hingga menyebabkan bilnya melonjak naik.
Apa yang menyedihkan ialah email yang digunakan untuk akaun iTunes Mutaza adalah emel yang jarang digunakan. Oleh itu, Mutaza hanya perasan resit yang diterima selepas banyak pembelian dibuat oleh anaknya.
Nasi sudah menjadi bubur, oleh kerana tiada duit untuk membayar bil berjumlah RM7410 (£1,289.70) tersebut, Mutaza terpaksa menjual kereta keluarga model Toyota Aygo untuk mendapatkan duit.
Selepas membuat aduan, Apple kemudian bagaimanapun memulangkan duit sebanyak £207 atau lebih kurang RM1189 kepada Mutaza.
Anak lelakinya juga tidak lagi dibenarkan untuk bermain permainan video yang memerlukan pembelian selepas insiden tersebut. Mutaza juga memaklumkan diirnya menjadi pelanggan Apple sejak 2005 dan tinggal bersama-sama dengan isteri dan tiga orang anak termasuk Ashaz.
Kredit: Daily Mail