Seperti yang kita sedia maklum, manusia menggunakan hidung secara amnya untuk bernafas dan juga untuk menghidu apa-apa bau.
Dalam lubang hidung kita ada bulu-bulu hidung yang pada dasarnya berfungsi untuk menapis zarah-zarah berbahaya yang disedut melalui hidung, di samping mengekalkan kelembapan dalam udara yang disedut masuk.
Namun begitu, bulu hidung kadang-kadang membuatkan kita terasa gatal di hidung dan menjengkelkan lebih-lebih lagi jika ianya menjadi terlalu panjang hingga kelihatan terjuntai keluar dari lubang hidung.
Ramai orang mengambil jalan untuk memotong dan bahkan mencabut atau ‘waxing’ bulu hidung yang berlebihan ini agar tidak mengganggu mereka. Namun begitu, para pakar dan doktor memberi amaran bahawa tabiat mencabut atau ‘waxing’ bulu hidung merupaakn sesuatu yang tidak bagus untuk kesihatan.
Hal ini kerana ianya boleh mendedahkan kita kepada jangkitan kuman dan berisiko menyebabkan keradangan atau jangkitan otak!
“Jika kuman berakhir di otak, ia boleh menyebabkan keradangan otak, dan kadang-kadang mengakibatkan abses otak,” kata Dr Karan Raj dari NHS.
Abses otak adalah ‘bengkak berisi nanah di dalam otak’ yang biasanya berlaku apabila ‘bakteria atau kulat memasuki tisu otak selepas jangkitan atau kecederaan kepala yang teruk’.
Meskipun risiko untuk mendapat abses otak adalah rendah tetapi jika terkena, boleh membuatkan nyawa terancam.
Oleh itu, jika anda merasakan bulu hidung anda terlalu panjang, mengganggu dan menjengkelkan, dinasihatkan agar merapikannya dengan ‘trim’ atau memotong dengan nipis.
Kredit: mStar