SEREMBAN: Sebuah keluarga empat beranak yang kesempitan hidup terpaksa tinggal dalam sebuah kabin usang berhampiran kandang kambing di Kampung Bemban Jalan Hilir Mambau, dekat sini.
Kabin usang yang dulunya dijadikan tempat berehat sementara bagi pekerja kandang kambing milik seorang ahli perniagaan itu menjadi tempat berteduh empat sekeluarga berkenaan sejak lebih empat tahun lalu.
Saidi Che Mat, 33, bersama isterinya, Siti Aishah Yaakub, 27, dan anak mereka berusia satu tahun tiga bulan dan enam tahun terpaksa menumpang teduh di kabin berkenaan kerana tidak berupaya untuk berpindah atau menyewa rumah disebabkan kesempitan wang.
Malah beliau juga keputusan pendapatan selepas ditamatkan kerja sejak 18 Mac lalu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Bekas pekerja pemotong ayam di sebuah premis di Rasah di sini, berkata dia pernah menyewa rumah di Taman Angsamas yang terletak berhampiran perkampungan itu tetapi hanya bertahan 10 bulan kerana tidak mampu membayar sewa.
Menurutnya, disebabkan kesempitan hidup, dia tidak mampu menyewa rumah lain dan terpaksa reda tinggal di kabin berkenaan atas ihsan pemilik tanah berkenaan yang juga pemilik kandang kambing.
“Walaupun dalam keadaan tidak selesa, itu saja pilihan yang saya ada dan kami sekeluarga reda kerana dapat menumpang teduh.
“Buat masa ini, itu saja yang saya termampu dan isteri akur dengan kesempitan yang kami hadapi,” katanya yang berasal dari Dungun Terengganu, manakala isterinya dari Kuala Krai Kelantan.
Saidi berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai pemotong ayam di Rasah Seremban dengan gaji RM40 sehari, tetapi diberhentikan apabila PKP dan baru-baru ini, pemilik premis berkenaan memberitahu dia tidak memerlukan lagi pembantu. – Berita Harian