”Kak. Perlukan bantuan ke?” – Malam Tu Hujan, Kereta Akak Tu Berhenti Tengah Jalan Dan Macam Tiada Siapa Tolong

Bukan untuk bermegah-megah, kisah yang dikongsikan seorang guru ini seharusnya memberi kesedaran kepada orang ramai. Kebaikan bila sering dipertontonkan, ia akan menjadi ikutan. Apatah lagi anak-anak kecil yang memerhati gelagat kita orang dewasa. ”Kak. Perlukan bantuan ke?” - Malam Tu Hujan, Kereta Akak Tu Berhenti Tengah Jalan Dan Macam Tiada Siapa Tolong - sajagempak.com

Mereka lihat kita sering membantu sesiapa sahaja, mereka juga akan buat begitu sepanjang hidup mereka.

Itulah niat sebenar yang cuba disampaikan oleh guru bernama Mohd Fadli Salleh melalui kisah yang tular sekitar 2 tahun lalu:

Dipersimpangan jalan menuju ke Danau Kota tadi, sebuah kereta kancil menyalakan lampu kecemasan. Aku berhenti di sebelah keretanya memandangkan lampu merah.

Dalam hujan renyai-renyai ini, aku jeling ke arah driver. Kelihatan seperti wanita cina berambut paras bahu sedang menghubungi seseorang melalui telefonnya.

Sebaik lampu bertukar hijau, aku bergerak dan singgah kat kedai makan kawan aku tidak jauh dari traffic light tersebut. Dan kereta kancil itu, langsung tidak bergerak. Berhenti betul-betul di tengah lorong tengah.

Hati aku terdetik untuk pergi dan bertanya khabar. Apa mungkin dia perlukan bantuan memandangkan jam pun dah hampir 12 malam. Namun hujan masih tidak berhenti. Kalau aku berjalan kaki ke sana, basah juga ni.

Aku melangkah masuk dalam kedai dengan menganggap dia mungkin sudah menghubungi sesiapa untuk bantuan. Sebaik aku tarik kerusi hendak duduk, rasa bersalah pula aku lihat orang dalam kesusahan dan aku tidak berbuat apa-apa.

Tak kisah lah yang susah itu Cina, India atau Melayu. Bila kita sendiri dilanda musibah, mesti kita sangat berharap sesiapa sahaja tanpa mengira kaum dan agama datang membantu.

Aku tolak masuk semula kerusi, tak sempat pun duduk. Lantas aku redah hujan menuju ke arah kereta kancil biru yang masih menyalakan lampu kecemasan.

Sebaik sampai, rupanya wanita Melayu. Tudung hitamnya paras bahu itu sekali imbas dalam hujan kelihatan seperti rambut pula.

Aku mengetuk cermin kereta lantas bertanya,

” Kak. Perlukan bantuan ke?”

” Aah cik. Boleh tolong tolak kereta ke tepi?”

Aku angguk kepala sahaja. Setakat kereta kancil, tenaga aku seorang dah mencukupi. Dalam hujan, aku tolak kereta ke tepi sambil menahan kenderaan yang lalu lalang agar memberi laluan. Setelah berhenti di tempat selamat, aku bertanya lagi,

” Akak dah hubungi sesiapa? Perlu bantuan lain?”

” Tak apa cik. Saya dah hubungi anak saudara saya. Minyak kereta habis. Terima kasih cik,” balasnya.”Kak. Perlukan bantuan ke?” - Malam Tu Hujan, Kereta Akak Tu Berhenti Tengah Jalan Dan Macam Tiada Siapa Tolong - sajagempak.com

” Saya dah boleh pergi kan? Ke ada apa lagi boleh saya bantu?”

” Tak apa cik. Terima kasih banyak ya.”

Dan aku berlalu ke kedai makan lantas menulis status ini. Tujuan aku menulis kisah ini bukanlah nak tunjuk aku baik. Jauh sekali nak berlagak atau riak.

Cuma aku ingin mengingatkan diri ini dan kawan-kawan, siapa pun orang yang berada dalam kesusahan, cubalah bantu walau secuit.

Kita tidak pernah tahu bila pula kita akan berada ditempat mereka. Saat itu, kita mengharapkan bantuan segera tiba.

Jangan lagi takut dan segan-segan menyebar kebaikan. Orang jahat tidak pernah takut untuk berbuat jahat. Kenapa kita pula malu untuk menunjukkan sikap yang baik?

Soal hati, berdoalah selalu agar Tuhan menjaga hati kita. Jaga niat, jangan riak. Hidup ini singkat. Cubalah berbakti walau secupak.

Semoga tulisan ini terhindar dari penyakit hati dan riak.

Kredit: Mohd Fadli Salleh

Facebook Comments Box