Kanak-kanak 5 Tahun Positif Covid-19 Kini Bersama Bapanya Selepas KKM Pindahkan Bapanya.
Ketika ambulans sampai untuk mengambil anak perempuannya, Nur Saffiya di rumahnya di Sepang malam tadi, hati Ira Hazwani tidak tenteram.
Baru berusia lima tahun, Saffiya disahkan positif Covid-19, sedangkan ibu dan adik perempuannya tidak dijangkiti virus berkenaan.
“Semasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ambil Safiyya, saya tak dapat ikut untuk hantar dia.
“Kalau saya ikut, saya perlu bawa anak yang kecil sekali. Ini akan merisikokan anak kedua saya yang baru berusia tiga tahun,” kata Ira Hazwani kepada Malaysiakini hari ini.
Saffiya dipercayai mendapat virus itu daripada ayahnya, yang disahkan positif selepas disaring di tempat kerja.
Si kecil berusia 5 tahun ini disahkan positif COVID-19. Tiada simptom. Sebentar tadi dibawa ke hospital bersendirian dengan ambulans. Moga lekas sembuh dan segera discaj. Ameen. Ingat, COVID-19 tak kenal mangsa. Credit: Ira Hazwani pic.twitter.com/6v2R2YWEHB
— TVALHIJRAH 114 (@TVAlhijrah) January 8, 2021
Ayahnya, Muhammad Ifwan ditempatkan pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Setelah Saffiya disahkan positif, Ira Hazwani berkata KKM memindahkan suaminya ke Hospital Kuala Lumpur, supaya dia dan Saffiya dapat bersama.
Meskipun tahu Saffiya akan tinggal bersama ayahnya, Ira Hazwani tetap risau untuk melepaskan anak perempuannya itu ke hospital menaiki ambulans seorang diri.
“Perasaan saya memang sedih dan risau, sebab dia baru umur lima tahun, kena pergi seorang-seorang naik ambulans. Takut tak jumpa ayah dia dekat sana.
“Tapi bila tanya dia, ‘Kakak okay ke naik ambulans seorang-seorang? Mama tak ada’
“Dia jawab, ‘Kakak okay. Kakak nak jumpa ayah. Nak peluk ayah.
“Sekarang dia dah bersama ayah dia,” kata Ira Hazwani.
Dalam satu video yang dirakam Ira Hazwani, Saffiya kelihatan tenang dan bersemangat ketika mengucapkan selamat tinggal.
Satu lagi video yang dirakam Muhammad Ifwan selepas itu pula, menunjukkan Saffiya teruja apabila dapat bertemu dengan ayahnya.
Ira Hazwani mengucapkan rasa terima kasih buat KKM kerana membantu Saffiya untuk diwadkan bersama Muhammad Ifwan.
“Terima kasih sangat pada KKM yang sangat-sangat bertoleransi dalam situasi kami ini, dan dapat satukan wad anak dan suami,” katanya lagi.
Sumber: Malaysiakini