London: Hanya kerana kecewa bercinta, seorang wanita mengambil keputusan untuk hanya makan nuget ayam sejak empat tahun lalu.
Akibatnya, berat badan Michaela Harris, 26, kini hanya 35 kilogram.
Katanya, dia juga tidak boleh menerima makanan lain dan akan muntah menyebabkan dia hanya makan nuget ayam saja.
Michaela berkata, dia akan menghancurkan terlebih dulu nuget yang dibeli dari Iceland itu sebelum dimakan.
Katanya, dia berhenti makan seperti biasa selepas berpisah dengan kekasihnya dan hilang 16 kilogram dalam tiga bulan.
Bagaimanapun, wanita itu tetap risau tiga anaknya yang berusia antara satu hingga tujuh tahun akan mengikut tabiat tidak sihat itu.
“Saya bimbang anak-anak akan mula meniru saya. Anak bongsu saya sudah mula cerewet mengenai makanan dan meminta nuget.
“Ketakutan terbesar saya adalah mereka akan meniru saya,” katanya seperti dilaporkan Mirror.
Menurutnya, selepas putus cinta, dia disahkan menghidap gangguan pengambilan had makanan (ARFID).
Ia adalah sejenis keadaan di mana individu sukar untuk makan atau terlampau cerewet dalam memilih jenis makanan.- Agensi