‘Kutu Cikgu, Kutu Cikgu!’ – Segalanya Bermula Dari Insiden Murid Menjerit Dalam Kelas| Tidak semua guru sanggup mencari kutu di kepala anak murid hinggakan ganggu fokus pembelajaran mereka di dalam kelas.
Namun lain pula kisahnya dengan seorang guru, Che Ku Aimi Nadiah yang tiada sedikit pun perasaan geli mahupun kotor membersihkan kutu di kepala anak muridnya.
Menerusi satu posting di Facebook, guru berusia 33 tahun itu kelihatan tekun membersihkan kepala seorang murid tahun enam yang dipenuhi kutu. Menurut Che Ku Aimi atau lebih mesra disapa Cikgu Aimi, dia terpanggil untuk membersihkan kutu tersebut kerana kesian melihat anak muridnya yang asyik tergaru-garu kepala ketika dia mengajar.
“Sebenarnya dah dua bulan saya perhatikan budak tu. Kadang terpandang boleh nampak (kutu) sebab terlampau banyak. Putih kutu tu penuh satu kepala dan bau pun kurang menyenangkan.
“Jujur saya cakap bukan semua orang boleh buat (cari kutu) sebab kutu tu terlampau banyak dan sangat kotor. Tapi saya kesian tengok dia tergaru-garu kepala masa saya tengah mengajar.
“Benda berlaku depan mata. Dia siap cakap cikgu gatal ni… gatal. Jadi saya pun suruh dia bawa tuala. Esoknya saya bubuh ubat kutu siap syampukan rambut dia lagi supaya dia dapat belajar dengan selesa,” katanya.
Jelas guru subjek Bahasa Melayu itu, situasi tersebut bukan perkara baharu dilakukannya sejak mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Nova Scotia 1, Teluk Intan Perak.
“Insiden ini bukan pertama kali berlaku. Sebenarnya saya start cuci kutu ni tahun lepas. “Semuanya berlaku gara-gara satu insiden dalam kelas. Anak murid saya menjerit cikgu… kutu cikgu… kutu cikgu… kutu.
“Bila saya pergi tengok memang nampak dua tiga ekor kutu jatuh atas buku latihan murid saya darjah tiga. Dahlah hitam, besar pula tu,” katanya.
Sebagai permulaan, Cikgu Aimi berkata dia mengajar anak muridnya mengenai bahaya kutu meskipun tajuk itu tiada dalam silibus Bahasa Melayu.
“Bila saya tengok ramai ada masalah kutu jadi saya pun sengaja ajar tajuk kutu walaupun hakikatnya tajuk tu tak ada dalam silibus BM.
Bagi saya benda ni biasa je. Semuanya berlaku dengan izin Allah. Allah beri kekuatan untuk saya lakukan tanggungjawab ini.
“Saya nak beri kesedaran kepada mereka mengenai bahaya kutu dan kitar hayat kutu sebagai langkah permulaan tapi saya tengok benda tu tak jalan.
“Akhirnya saya pun suruh suami beli ubat kutu. Habis je sekolah saya minta empat murid tahun tiga tu tunggu. Lepas tu saya pun letak ubat dan basuh rambut mereka macam di salon,” katanya.
Kegigihan Cikgu Aimi turut mendapat pujian netizen. Bagaimanapun wanita berasal dari Terengganu itu menyifatkan usahanya itu sebagai satu perkara kecil.
“Bagi saya benda ni biasa je. Semuanya berlaku dengan izin Allah. Allah beri kekuatan untuk saya lakukan tanggungjawab ini.
“Saya tak boleh nak biarkan. Kalau saya tak buat siapa lagi nak buat. Sekurang-kurangnya apa yang saya buat boleh menyedarkan mereka mengenai pentingnya kebersihan diri,” katanya.
Kredit: mStar, Che Ku Aimi Nadiah