Gara-gara kantoi mencuri, seorang lelaki di Sumatera Selatan dihukum di khalayak ramai dengan dipaksa memakai kalung kertas bertulis ‘Saya Copet (Curi)’ di lehernya.
Tribunnews melaporkan kejadian berlaku selepas lelaki itu ditangkap mencuri di Pasar Ilir 16, di sini, pada 17 November lalu.
Lelaki itu bagaimanapun tidak dibawa terus ke balai polis untuk siasatan. Sebaliknya, orang ramai di situ mendesaknya bersumpah di hadapan semua yang ada supaya tidak mengulangi perbuatannya.
Kisahnya mendapat perhatian selepas tular rakaman video dan gambar di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki berdiri di atas kerusi dengan kalung kertas di lehernya, sebelum bersumpah di depan orang ramai.
Turut kedengaran, jeritan seorang lelaki dipercayai orang awam di situ yang memberi peringatan mengenai akibat akan diterima suspek, jika kejadian sama berulang.
Rata-rata warganet menyokong tindakan itu bagi memberi pengajaran kepada suspek supaya menyesali perbuatannya.
Ketua Polis Ilir Timur 1, Hardiman mengesahkan kejadian itu berlaku di wilayahnya.
“Hukuman itu dilakukan kerana desakan orang ramai yang menuntut anggota polis mengarahkan suspek membuat akuan bersumpah.
“Hanya ada dua anggota bertugas ketika itu, jadi tiada pilihan kecuali akur dengan desakan orang ramai bagi meleraikan kekecohan,” katanya.
“Akuan bersumpah itu adalah syarat sebelum suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sumber: Harian Metro