Ketika sedang berjalan-jalan, seorang lelaki berusia 31 tahun terkejut dan menggigil apabila menemui satu benda yang menyerupai tangan manusia di atas tanah. Lelaki yang dikenali sebagai Mike Roberts itu menemuinya benda menggerunkan tersebut di hutan Colwyn Bay, North Wales ketika berjalan di sekitar kawasan itu.
Mike Roberts sempat mengambil foto-foto penemuannya sebelum bergegas berlari keluar dari hutan tersebut dan menceritakan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan akan penemuannya.
Menurutnya, benda itu berwarna putih tapi agak comot dan menyerupai tangan manusia yang cuba keluar dari tanah kubur. Dari cara penceritaannya, boleh digambarkan bahawa benda yang ditemuinya itu pasti kelihatan amat menyeramkan sekali!
Namun begitu, apakah betul benda yang ditemuinya itu adalah tangan manusia? Lelaki berkenaan turut berkongsikan foto-foto penemuannya di facebook dan dengan pantas mencuri perhatian ramai.
Beberapa orang pengguna turut menyatakan rasa gerun mereka terhadap ‘benda’ tersebut dan malah ada yang mengatakan mereka tidak akan mahu masuk ke hutan lagi jika terjumpa benda-benda sedemikian.
Namun kemudian akhirnya terbukti bahawa benda menggerunkan yang ditemuinya itu bukanlah tangan manusia tetapi sebenarnya satu spesis cendawan unik yang dikenali sebagai Xylaria Polymorpha. Nama lain yang diberikan untuk cendawan tersebut adalah ‘jari manusia’ (Dead Man’s Fingers).
Penemuan cendawan Xylaria Polymorpha di United Kingdom dan Ireland adalah merupakan satu perkara biasa buat mereka yang selalu masuk hutan dan cendawan ini sememang mempunyai rupa yang seakan jari manusia.
Sumber: Mirror