Seorang lelaki di United Kingdom hanya menggunakan ‘modal’ dengan menjaja kisah sedih memerlukan wang untuk mendapatkan buah pinggang baharu bagi menjerat ramai wanita di aplikasi Tinder.
WalesOnline melaporkan Mahkamah Crown Swansea diberitahu, tertuduh Paul Simon Gillet, 30, sebelum ini memperdayakan seorang wanita bernama Rebecca Rouse, yang dikenalinya menerusi aplikasi itu.
Lelaki itu didakwa menggunakan alasan memerlukan wang untuk mendapatkan buah pinggang baharu sehingga menyebabkan wanita terbabit menyerahkan 3,000 Pound Sterling (RM16,283).
Penipuan Gillet tidak terhenti di situ apabila dia memperdayakan banyak wanita lain sehingga mengumpul wang haram berjumlah 158,000 Pound Sterling (RM857,605).
Pendakwa raya, Helen Randall memberitahu dalam satu kes, Gillet bertemu dengan seorang wanita dan kemudian menetap bersama mangsa dan anaknya.
Dia kemudian memperoleh sejumlah wang dengan menggunakan nama wanita itu untuk mendapatkan pinjaman kewangan.
Selain itu, dia berjaya memujuk wanita itu membuat pinjaman bagi membayar wang pendahuluan rumah mereka. Kemudian, dia cuba mendapatkan pinjaman lebih 41,000 Pound Sterling (kira-kira RM222,543) dengan menggunakan maklumat peribadi wanita itu.
Gilet juga menipu mangsa dengan mengatakan buah pinggangnya bermasalah dan perlu segera menjalani pemindahan organ.
Akibat ditipu, wanita terbabit terpaksa hidup dalam ketakutan kerana dikejar pemiutang sehingga dia bimbang untuk menjawab panggilan telefon dan membuka pintu rumah.
Hakim Huw Rees berkata, tindakan defendan menggunakan pelbagai tipu muslihat bagi mendapatkan wang memberi kesan buruk kepada emosi mangsa.
“Kamu lelaki yang betul-betul tidak jujur. Kamu seakan-akan menjadikan ini (menipu) sebagai pekerjaan untuk memperdaya dan menipu orang tak bersalah,” katanya seperti dipetik dalam portal Daily Star.
Gillet kini menjalani hukuman penjara lebih empat tahun atas semua kesalahan berkenaan. – Harian Metro