Para penduduk telah dikejutkan dengan letupan yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Teratai 77, Taman Johor Jaya hari ini. Punca letupan tersebut adalah disebabkan kebocoran saluran tong gas di rumah seorang lelaki.
Akibat daripada letupan tersebut, lelaki berkenaan telah terpelanting ke luar rumah dan badannya melecur antara 70 hingga 80 peratus.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor telah menerima panggilan kecemasan pada jam lebih kurang 12.45 tengah hari dan dua jentera dan dua Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya dan Tebrau segera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, operasi berkenaan telah diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar bersama 15 anggota.
“Setibanya di lokasi kejadian yang merupakan sebuah rumah teras dua tingkat, didapati seorang lelaki berusia 49 tahun cedera dan sebahagian rumah terbakar akibat tong gas LPG meletup.
“Pasukan bomba mendapati mangsa terpelanting ke luar rumahnya dan melecur 70 hingga 80 peratus.
“Anggota EMRS memberi rawatan awal sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI). Letupan juga mengakibatkan sofa di ruang tamu terbakar,” katanya.
Mangsa lelaki berkenaan dipercayai menghuni rumah itu secara berseorangan dan masih belum ada maklumat lanjut berkaitan kejadian tersebut disebabkan mangsa masih menjalani rawatan atas kecederaan yang dialaminya.
Sumber: Harian Metro