Berapa kali anda tidur dalam sehari? Kebiasaannya kita akan tidur sekurang-kurangnya sekali sehari dan akan bangun selepas beberapa jam kemudian.
Bila kita dah tidur terlalu lama contohnya dalam 8 jam keatas, memang payah untuk sambung tidur dan akhirnya kita akan terpaksa bangun dan membuat kerja-kerja lain. Namun tahukah anda, terdapat manusia yang mampu tidur selama 300 hari setahun?
Ya, tular baru-baru ini mengenai seorang lelaki di India yang mampu tidur selama 300 hari setahun. Lelaki yang dikenali sebagai Pukharam, 42, yang berasal dari sebuah kampung di Bhadwa di Rajasthan, India itu mampu tidur selama 25 hari berterusan disebabkan penyakit yang dihidapinya iaitu ‘HPA axis hypersomnia’
Lelaki ini menderita penyakit tersebut sejak 23 tahun yang lepas dan dikatakan mula dikesan selepas dia tidur selama 15 jam sehari.
Keadaan Pukharam menjadi semakin teruk dua tahun kemudian dan menyebabkan keluarganya merekodkan tempoh tidurnya mengikut jumlah hari, berbanding sebelum ini mengikut berapa jam.
Pukharam juga boleh tidur secara berterusan selama lapan hari dan kini durasi tidurnya makin lama apabila tidur selama 25 hari pada masa sekarang. Seperti yang kita sedia maklum, setahun bersamaan dengan 365 hari dan bagi Pukharam, dia menghabiskan masa 300 hari daripadanya untuk tidur.
Menurus isteri Pukharam yang dikenali sebagai Lichimi Devi, suaminya bangun dari tidur dan antara perkara pertama yang dibuatnya adalah membuka kedai runcit yang kebiasaannya dibuka cuma 5 hari sebulan. Namun Pukharam kadangkala tertidur ketika bekerja dan tidak bangun meskipun sudah cuba dikejutkan berkali-kali.
Apabila dia tertidur, keluarganya akan membawanya pulang, memberinya makanan dan juga memandikannya dan kesemuanya dilakukan ketika Pukharam sedang tidur. Namun tiada sesiapa yang tahu bila Pukharam akan bangun apabila dia sudah tidur.
Meskipun sudah mencuba pelbagai jenis rawatan bagi menyembuhkan penyakitnya, tetapi keadaan Pukharam masih tidak berubah. Namun Pukharam dan ahli keluarganya tidak berputus asa dan berharap keadaan Pukharam akan pulih seperti biasa.