Mengaku Mualaf Untuk Raih Simpati Demi Duit

Petaling Jaya: Memberi alasan baru memeluk agama Islam dan mengalami masalah kewangan untuk menyelesaikan hutang kad kredit.sajagempak.com - Mengaku Mualaf Untuk Raih Simpati Demi Duit

Itu taktik seorang lelaki yang memperdaya dan menipu untuk mendapatkan wang tunai daripada imam dan ustaz di Selangor.

Bagaimanapun, tindakan suspek berusia 35 tahun itu akhirnya terbongkar selepas ditahan seorang mangsa bersama rakannya yang kebetulan terserempak lelaki itu di pekarangan Surau Mutiara Damansara, di sini, semalam sebelum menyerahkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian pada 5.54 petang 1 Februari lalu, seorang imam Masjid Seksyen 5, Kota Damansara berusia 38 tahun menjadi mangsa kepada suspek.

Beliau berkata, suspek datang bertemu dengan imam terbabit dan mengaku memeluk Islam serta ingin meminjam wang bagi urusan menyelesaikan masalah kad kredit disekat pihak bank.

“Mangsa dengan niat membantu menyerahkan RM450 kepada suspek sebelum suspek menyatakan mahu ke Terengganu pada Ahad kerana urus niaga bank dibuka di negeri berkenaan.

“Setiba di Terengganu, suspek meminta wang tambahan bagi urusan mengaktifkan kad kreditnya menyebabkan mangsa sekali lagi menyerahkan wang RM650 melalui pindahan wang ke akaunnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, mangsa kemudian menyedari nombor telefonnya disekat suspek dan gagal dihubungi sebelum dia mengetahui kejadian sama tular di dalam Facebook menyatakan lelaki itu sudah menipu ramai imam dan ustaz di Selangor.

Beliau berkata, mangsa sekali lagi terserempak dengan suspek di pekarangan Surau Mutiara Damansara, semalam dan berkemungkinan ingin melakukan jenayah sama.

sajagempak.com - Mengaku Mualaf Untuk Raih Simpati Demi Duit

“Berikutan itu, mangsa dan rakannya menahan suspek sebelum membawanya ke Balai Polis Mutiara Damansara untuk diserahkan kepada polis.

“Tangkapan dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Siasatan mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – Harian Metro

Facebook Comments Box