TINDAKAN seorang lelaki menjual barangan tiruan di media sosial dan menjadikan sebuah rumah di Jalan Camar di Petaling Jaya, sebagai stor penyimpanan barang tiruan mengundang padah apabila diserbu pihak berkuasa dalam serbuan Operasi Tiru (Op Tiru), semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, seramai lapan anggota penguat kuasa dari pejabat KPDNHEP cawangan Petaling Jaya serta wakil cap dagangan membuat serbuan di kediaman itu kira-kira 12 tengah hari selepas menerima maklumat aduan daripada pemilik cap dagangan.
Katanya, hasil pemeriksaan menemui 52 barangan membabitkan beg, dompet, jam tangan, kasut dan tali pinggang jenama Louis Vuitton (LV) dan Gucci yang disyaki tiruan dianggarkan bernilai RM16,800.
“Pada awal serbuan dilakukan, rumah itu berkunci dan kemungkinan tiada penghuni, namun selepas siasatan awal mendapati pemilik premis yang juga warga tempatan berusia lingkungan 30-an hadir dan memberikan kerjasama sepanjang pemeriksaan terbabit.
“Lelaki berkenaan juga ditahan dan diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhamad Zikril berkata, berdasarkan maklumat awal, pihaknya percaya barangan itu diperoleh dari China sebelum dipasarkan di negara ini secara dalam talian melalui laman sosial, Instagram yang dikatakan mempunyai pengikut lebih 13,000 orang.
“Difahamkan barang tiruan berkenaan dijual pada harga antara RM100 ke RM1,000 mengikut jenis barangan dan kualitinya.
“Menurut keterangan lelaki terbabit, rumah itu yang juga miliknya diubah suai untuk dijadikan sebagai tempat penyimpanan barang berkenaan sebelum ia dijual secara dalam talian sejak dua tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu dijalankan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.
“Jika sabit kesalahan, individu itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan cap dagangan berdaftar atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“Kami memberi amaran kepada mana-mana peniaga supaya tidak menjalankan urusniaga dengan barangan tiruan kerana pihak KPDNHEP sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.
“Pada masa sama, kami juga menjalinkan kerjasama dengan pemilik cap dagangan supaya aktiviti penjualan barangan tiruan dapat dibanteras,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna dan masyarakat supaya berhati-hati ketika melakukan pembelian barangan sama ada di premis atau di platform media sosial supaya tidak terpedaya dengan taktik peniaga yang tidak beretika menjual barang tiruan.
“Kami amat mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan disalurkan kepada pihak KPDNHEP melalui saluran aduan yang disediakan,” katanya. – Harian Metro