Penduduk di Indonesia digemparkan dengan kemunculan objek seakan ‘bebola api’ berwarna merah di ruang langit pada waktu malam.
Kejadian tersebut sempat dirakam oleh beberpaa penduduk yang menyaksikan sendir perkara tersebut dan menurut SuaraJabar.id, kejadian itu dipercayai berlaku di daerah Jawa Barat kerana kedengaran perbualan dan kata-kata penduduk menggunakan Bahasa Sunda.
Dalam video berdurasi 12 saat yang ditularkan itu, kelihatan objek menyerupai bebola api menghasilkan cahaya terang di langit sebelum ianya pudar dan membuatkan para penduduk terkejut dan pelbagai spekulasi dan tanda tanya timbul dikalangan mereka.
Rakaman video yang dimuatnaik oleh laman @infojawabarat itu sehingga kini telah mendapat lebih 140 ribu tontonan di laman Instagram.
“Allahuakbar, Allahuakbar, apa tu?” tanya seorang wanita didalam video berkenaan.
Wanita itu juga kemudiannya bertanya jika objek menyerupai bebola api itu merupakan meteor (tahi bintang) atau bukan. Kemunculan bebola api itu juga membuatkan beberapa penduduk ketakutan dan segera melarikan diri ke tempat lain selepas menyaksikan kejadian tersebut.
Susulan kejadian itu juga, beberapa orang penduduk mengaitkan ‘bebola api’ tersebut dengan banaspati atau jin yang menyerupai bola api terbang.
Tambah mereka lagi, ‘bebola api’ itu merupakan medium untuk menghantar santau kepada orang yang terpilih menjadi mangsa.
VIDEO:
Namun ada juga yang mendakwa bebola api berkenaan merupakan suar, iaitu alat yang digunakan untuk menghantar isyarat atau petunjuk yang berfungsi dengan menghasilkan cahaya terang di langit.