MEGETAN – Akibat terkejut dan panik melihat seorang remaja terbaring di tepi sawah, penduduk kampung terus menghubungi pihak hospital kerana menyangka dia dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) dalam kejadian di Magetan, Jawa Timur, Indonesia.
Namun cukup lucu kerana laporan Ayo Jakarta mengatakan, sekumpulan pasukan perubatan pergi ke lokasi kejadian bersama ambulans dengan peralatan lengkap khas pencegahan Covid-19 iaitu pakaian khas perlindungan peribadi (PPE), bagaimanapun belum sempat membuat pemeriksaan remaja berusia 18 tahun itu tiba-tiba bangun dan kemudian menangis.
Hasil pemeriksaan terhadapnya mendapati, dia rupa-rupanya berkeadaan begitu kerana terlalu sedih akibat putus cinta.
Kejadian lucu itu bermula apabila penduduk kampung terkejut melihat seorang lelaki yang sedang menunggang motosikal tiba-tiba berhenti di tepi jalan sebelum tiba-tiba terjatuh dan terbaring.
Dalam satu rakam video yang dirakam oleh penduduk kampung, petugas perubatan bersedia dengan kelengkapan kerana bimbang jika lelaki itu dijangkiti Covid-19 namun sebaliknya bertukar haru kerana selepas disoal-siasat remaja itu mengaku terbaring di tepi jalan kerana terlalu kecewa selepas ditinggalkan teman wanitanya.
“Saya sangat sedih, hati saya sakit kerana masih sayang dia. Tetapi tiba-tiba dia minta putus, saya tak boleh buat apa,” kata lelaki itu sambil menangis teresak-esak.
Petugas perubatan yang pada awalnya bertugas bagi mencegah Covid-19 itu sebaliknya bertindak memujuk remaja tersebut sambil memberikan kata-kata semangat supaya dia tidak berputus asa.
Remaja itu akhirnya tenang dan kemudian mengucapkan terima kasih kepada petugas kesihatan berkenaan sebelum beredar dengan menunggang motosikalnya semula.
Penularan video itu membuatkan netizen meluahkan rasa hiba dan ada juga netizen menganggap insiden itu sebagai lucu.
Bagaimanapun kata @hariyanto, “Moga dia tenang, ada semangat lepas ini. Jangan buat orang ramai panik ‘pengsan’ di tepi sawah.”
Kata @asiah, “Ini kisahnya… ingat benar Covid-19, kami doakan lelaki ini semoga mendapat pasangan yang lebih baik dan mencintainya apa adanya.”
Sumber: Sinar Harian