Seorang Pengantin Gemuruh Sampai Tersasul Nikahkan Imam, Satu Rumah Riuh! “PERASAAN gemuruh ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu. Seperti nak tercabut jantung apabila saya dan tok kadi mula berjabat tangan.
Itu yang sampai tersasul nak nikahkan dia (tok kadi),” kata Muhammad Akmal Jamal, 27 berhubung rakaman video akad nikahnya yang tular di laman sosial sejak kelmarin.
Video memaparkan gelagat Muhammad Akmal yang seperti mahu menikahkan kadi itu mencuit hati pengguna laman sosial, dan sehingga hari ini ia sudah menerima 20,650 retweet oleh pengguna di laman sosial Twitter.
Menceritakan ‘detik manis’ itu Muhammad Akmal berkata, majlis akad nikah berlangsung di rumah pengantin perempuan, Nur Khairunnisa Mohamed Ramli, 24, di Batu Empat, Kota Tinggi, Johor selepas solat Asar.
Menurut Muhammad Akmal, pada awalnya dia agak tenang dan bersedia untuk menyempurnakan akad nikah, namun perasaan gemuruh mula timbul apabila berdepan dengan kadi.
“Sebaik tok kadi berjabat tangan, saya bertambah gementar. Bagaikan terkena renjatan elektrik pun ada,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.
Muhammad Akmal berkata, perasaan gemuruh itu kemudian bertambah teruk apabila dia tersasul ketika cuba melafazkan akad nikah buat kali pertama.
“Sepatutnya saya sebut terima nikahnya, namun terkeluar aku nikahkan kamu, macam saya pula nak nikahkan tok kadi. Habis satu rumah riuh dengan gelak tawa ahli keluarga dan tetamu, malah tok kadi sama ketawa terbahak-bahak,” katanya yang berasal daripada Kulai Johor.
Menurutnya, biarpun ‘kecundang’ pada cubaan pertama, namun dia bersyukur apabila berjaya meneyempurnakan lafaz akad nikah buat kali kedua.
“Selepas mendapat rentak, lafaz akad nikah kali kedua berjalan dengan sempurna dan kami sah menjadi suami isteri,” katanya yang juga pekerja swasta.
Dalam majlis itu, pengantin perempuan menerima mas kahwin seutas gelang tangan bernilai RM1,500 berserta enam dulang hantaran yang berbalas dengan enam dulang.
Ditanya berhubung reaksi beliau selepas rakaman video akad nikah itu tular, Muhammad Akmal berkata, dia tidak kisah dengan pandangan orang ramai kerana kesilapan ketika akad nikah adalah perkara biasa.
“Saya tidak mengambil serius malah menganggap insiden kelakar itu sebagai detik manis untuk kami suami isteri kenang hingga akhir hayat. Malah isteri saya sendiri kongsi video itu di Facebook (FB) miliknya,” katanya.
Terdahulu video berdurasi 30 saat itu tular di laman sosial Twitter apabila ia dimuat naik oleh adiknya, Haikal Jamal, 20, pada Jumaat lalu. Video pengantin berkenaan menerima 20,650 retweet serta 8,000 likes oleh pengguna Twitter sebelum ia kemudiannya tular di FB.
Anda boleh tengok video penuh dibawah:
Sumber: Harian Metro