Seorang petani di Odisha, India menemui sesuatu yang mengejutkan ketika bekerja di ladangnya yang terletak di kawasan di timur negara berkenaan.
Ketika berada di ladangnya, dia menemui sesuatu benda yang berwarna kuning bergerak-gerak dan kelihatan menyorok di sebalik rumput. Bila dilihat di jarak dekat, ‘benda’ itu rupanya seekor penyu yang berwarna kuning!
Lelaki yang dikenali sebagai Basudev Mahaparta, yang menemui penyu kuning tersebut kemudian membuat keputusan untuk membawanya pulang ke rumah. Selepas itu dia menyerahkan penyu kuning tersebut kepada pihak forestry yang kemudian memanggil pakar untuk memaklumkan dan mengenalpasti penyu tersebut.
Menurut pengarah eksekutif Persatuan Pemuliharaan Biodiversiti, Siddhartha Pati berkata, ini adalah kali pertama dia menemui penyu berwarna kuning seperti itu.
Siddhartha Pati kemudian memberitahu punca penyu tersebut berwarna kuning adalah kemungkinan disebabkan ada kaitan dengan penyakit jenis albinism.
Penemuan penyu yang berwarna kuning ini dipercayai ada kaitannya dengan ketidakimbangan pigmen kulit, menyebabkan penyu itu bertukar warna.
“Ia adalah gangguan kongenital dan dicirikan oleh ketiadaan pigmen tirosin sepenuhnya atau sebahagian.
“Juga, kadang-kadang mutasi berlaku dalam urutan gen atau ada kekurangan tirosin.”, ujar Pati.
Penyu kuning tersebut dianggarkan berusia sekitar satu tahun setengah hingga dua tahun pada ketika ia ditemui. Penyu kuning itu kemudiannya dilepaskan semula ke habitat asalnya.