Remaja lelaki mahu cipta rekod, tinggal bersama dengan lima ular sawa sebuah bilik selama enam jam 40 minit pada 31 Ogos ini sempena meraikan Hari Kebangsaan ke-64.
Remaja lelaki berusia 13 tahun dan yang dikenali sebagai Adam Harith Mohd Ridzuan berkata tujuannya selain mencipta rekod peribadi, adalah untuk mencabar keberanian diri dan juga mahu memberi kesedaran kepada orang ramai supaya menyayangi haiwan terutama ular yang lazimnya digeruni.
Menurut remaja ini, sepanjang tempoh masa itu akan dihabiskannya dengan membaca buku, menyiapkan kerja sekolah atau pun bermain permainan video.
“Sejak kecil, saya sudah biasa bermain dengan haiwan peliharaan bapa ini dan tahu serba sedikit mengenai tingkah lakunya.
“Untuk tinggal dalam bilik kecil bersama ular berkenaan memang perlukan keberanian namun paling penting, saya mahu mengajak generasi muda supaya sayangkan haiwan,” tambahnya lagi.
Pada 31 Ogos ini bermula jam 8 pagi, Adam Harith dijangka ditemani ular sawa batik ‘reticulated phyton’ dan ‘burmese phyton’ yang berusia tiga hingga 18 tahun.
Kelima-lima ular sawa berkenaan mempunyai berat antara 100 hingga 300 kilogram dan sepanjang kira-kira tiga hingga lapan meter.
Mohd Ridzuan Abdullah Zawawi, 37 bapa kepada Adam Harith memaklumkan idea untuk mencipta rekod peribadi tersebut adalah idea dan keinginan anaknya sendiri.
Semua persiapan dari aspek keselamatan sudah disediakan denga teliti dan juga pemantauan akan dilakukan pada hari tersebut.
“Sebenarnya ular ini, jika kita tahu kaedah menjaga atau menyediakan tempat tinggalnya dengan baik, ia akan menjadi haiwan yang jinak dan mudah dibela.
“Namun seperti membela haiwan lain, kita juga perlu perhatikan tingkah laku ular itu kerana adakalanya ia juga boleh berasa tidak selesa atau tertekan dengan keadaan sekitar,” katanya yang bekerja sendiri.
VIDEO:
Sejak kecil lagi si bapa, Mohd Ridzuan Abdullah Zawawi mempunyai hobi membela reptilia itu dan sehingga kini mempunyai 18 ekor ular dari pelbagai jenis. Dan sekarang ini, minatnya itu kelihatan turut dikongsi oleh anaknya, Adam Harith.
Antara ular sawa kesayangannya diberi nama Cik Kiah seberat 300 kilogram manakala Joyah dan Kak Timah pula masing-masing seberat 100 kilogram.
Sumber: Harian Metro