Seorang gadis menjadi tumpuan warganet apabila videonya memegang dan mencium katak menjadi tular di aplikasi Tiktok. Bukan saja katak, tetapi gadis ini juga dilihat selamba memegang dan bermain dengan haiwan-haiwan lain termasuk haiwan yang dianggap menggelikan seperti lintah dan pacat.
Menurut gadis yang dikenali sebagai Syahirah itu, dia sudah biasa dengan kehidupan di kampung sejak kecil dan membuatkannya tidak berasa geli dengan haiwan seperti katak.
Video yang tular itu dirakamkan secara spontan ketika ternampak katak itu ketika sedang berbual dengan ibunya di laman rumah mereka.
“Saya cium katak tu bukannya nak promote saya ni single. Tapi saya sudah biasa pegang katak sejak kecil, jadi tak ada pun rasa geli dengan haiwan tu.
VIDEO:
“Biasalah gadis kampung, tak ada yang geli. Kalau orang geli lipas dan tikus, saya anggap tu biasa saja,” katanya
Turut dikenali sebagai Raa dalam kalangan teman-teman, kehidupan Syahirah di Kampung Gong Mengkelih di Pasir Puteh, Kelantan turut dikelilingi beberapa haiwan ternakan.
Syahirah bersama kambing biri-biri ternakan keluarganya.
“Di rumah, keluarga saya membela kambing biri-biri. Ada kira-kira 10 ekor. Kami juga memelihara kucing, arnab dan burung termasuk burung puyuh.
“Kebiasaannya setiap petang selepas habis kerja, saya akan meluangkan masa bersama kambing biri-biri ini. Kesemuanya jinak dan suka bermanja,” ujarnya.
Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, dia bagaimanapun tetap mempunyai ‘pantang’ untuk mendekati binatang tertentu.
Gadis ini tidak berasa geli memegang lintah dan pacat.
Walaubagaimanapun, meskipun kelihatan mesra dengan banyak haiwan, gadis ini mengakui dia tidak suka mendekati ular dan ulat sampah.
“Saya tak suka dekati ular kerana ia berbisa. Jika ada ular yang jinak, dijadikan tarikan pelancong untuk bergambar pun saya jauhkan sebab terbayang ular tu akan membelit badan.
“Selain itu, saya juga tak suka pegang ulat sampah. Bukannya geli, boleh saja nak pegang. Tapi kalau saya pegang, rasa meremang bulu roma,” tambahnya.
Syahirah berkata, dia turut gemar memasak, malah sering membuat nasi lemak untuk rakan-rakan sekerja ketika bekerja di Kuala Lumpur sebelum bertukar kerjaya di Kota Bahru, tahun lalu. Syahirah juga memberitahu dirinya sering bawa bekal pergi kerja dan jarang makan di luar kerana lebih suka dan puas rasa makanan dibuat sendiri.
Syahirah sudah biasa melakukan kerja-kerja kampung.
Ditanya mengenai ciri-ciri lelaki idaman, eksekutif akaun itu bagaimanapun tidak cerewet kerana apa yang lebih penting baginya adalah kejujuran dan keserasian.
“Orang yang baik tu ramai, tapi bukan semua yang kita rasa selesa. Mungkin orang tu perfect di mata orang lain, tapi bukan pada kita.
“Sudah tentu saya nak cari orang yang selesa dengan saya, dan saya pun selesa dengan dia. Saya ni seorang peramah, suka bercerita.
Menurut gadis ini lagi dia agak insecure dengan lelaki yang kulitnya lagi putih atau yang ber’muka jambu’. Tambahnya lagi dia lebih suka lelaki berkulit sawo matang seperti Aaron Aziz.
Kredit: mStar