Telinga Seorang Murid Tahun 4 Distepler Oleh Cikgu Sebab Tak Siapkan Kerja Sekolah Matematik

Telinga Seorang Murid Tahun 4 Distepler Cikgu Sebab Tak Siapkan Kerja Sekolah Matematik Yang Diberikannya.
Telinga Murid Distepler Oleh Cikgu Kerana Tak Siapkan Kerja Sekolah(Gambar SNT/Junaidi Ladjana)

KOTA KINABALU: Seorang murid Tahun Empat di sebuah sekolah rendah di Likas, di sini mendakwa telinga kirinya distepler gurunya selepas tidak menyiapkan kerja sekolah, semalam.

Mangsa Amir Shafuan Bahram berusia 10 tahun mengalami luka pada telinga kirinya sehingga berdarah.

Ibu mangsa, Shuaila Madidy, 32, berkata dia mendapat tahu mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh kakaknya Puana, 42, ketika mengambil anaknya yang baru keluar dari sekolah berkenaan pada jam 11.30 pagi.

Telinga Murid Distepler Oleh Cikgu Kerana Tak Siapkan Kerja Sekolah
Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Saya ada tanya dia (anak) kenapa menangis tetapi dia hanya jawab tiada apa-apa. Namun saya terkejut melihat ada tompokan darah pada baju sekolah sebelum kakak saya yang turut mengambil anaknya di sekolah berkenaan memberitahu bahawa telinga anak saya distepler oleh guru di sekolah berkenaan.

“Saya bersama kakak kemudian membawa Amir menemui guru terbabit dan menanyakan mengapa bertindak sedemikian. Guru wanita itu mengatakan Amir tidak menyiapkan kerja sekolah mata pelajaran Matematik yang diberikan.

Telinga Murid Distepler Oleh Cikgu Kerana Tak Siapkan Kerja Sekolah
Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Saya kemudian memberitahunya mengapa perlu menstepler telinga murid… guru itu hanya mendiamkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Likas, hari ini.

Menurutnya, dia kemudian menemui guru besar sekolah berkenaan untuk melaporkan tindakan guru terbabit.

“Guru besar itu memaklumkan akan menjalankan siasatan mengenai kejadian itu dan mengatakan terpulang kepada ahli keluarga untuk membuat laporan polis,” katanya.

Dalam pada itu, Shuaila berkata anaknya memaklumkan bahawa guru itu menstepler telinga kirinya hingga dawai kokot melekat di bahagian bawa telinga.

Anak saya yang kesakitan menangis sebelum guru itu mencabut dawai kokot hingga menyebabkan pendarahan berlaku.

“Berikutan kejadian itu saya membuat laporan polis pada hari yang sama sebelum membawa anak mendapatkan rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Kota Kinabalu.

“Bukan anak saya tidak mahu menyiapkan kerja sekolah itu, cuma dia tidak tahu untuk membuatnya. Jadi guru itu perlu membimbingnya dan bukan tindakan keterlaluan dengan menstepler telinga anak saya.

“Saya harap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya terhadap guru terbabit dan pihak pengurusan sekolah berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Puana berkata pihak keluarga tidak akan menarik balik laporan polis dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada guru terbabit.

“Tindakan guru itu amat bahaya dan jika dibiarkan kita khuatiri perkara ini akan berlaku kepada murid lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurut Astro Awani, Kementerian Pendidikan masih menunggu laporan lengkap berkenaan kejadian guru yang mengetip telinga seorang murid sekolah menggunakan dawai kokot di Likas, Sabah.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata, laporan lengkap insiden itu kini sedang disediakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.

“Kita masih lagi menunggu laporan lengkap dari JPN Sabah. Kita mahukan laporan lengkap mengenainya,” katanya.

Sumber: Sabahpost

Facebook Comments Box