“Menyaksikan mayat bangkit dari pembaringan adalah peristiwa tidak dapat dilupakan sehingga kini,” ujar Senin Jais, 78 , yang pernah menjadi pemandu van jenazah dan ambulans Hospital Melaka.
Menurutnya, kejadian yang berlaku sekitar 1980-an itu berlaku ketika dia membawa jenazah berkenaan dari Hospital Melaka ke sekitar Batu Pahat, Johor, sambil ditemani penjaga rumah mayat, Rohani Akop.
Katanya, ketika dalam perjalanan, mereka terkejut apabila mayat lelaki dibawa di bahagian belakang van tiba-tiba bangun daripada pembaringan.
Senin berkata, disebabkan mayat lelaki itu berbadan besar ia hanya dibaringkan di atas alat pengangkat sahaja tanpa boleh ditutup.
“Kejadian berlaku ketika kami sampai ke Muar. Melalui cermin pandang belakang, saya dapati mayat itu bangun walaupun ditutup kain putih.
“Kira-kira 10 hingga 15 minit kemudian, mayat terbabit baring semula sehinggalah kami tiba kediaman keluarga mayat berkenaan,” katanya.
Dia bersyukur diberi kekuatan dan semangat sepanjang perjalanan untuk menyelesaikan misi menguruskan jenazah dengan selamat.
Beliau berkata, kejadian itu antara pengalaman hampir 30 tahun bertugas termasuk di Hospital Jasin selama lima tahun.
“Saya bersyukur tiada sebarang kemalangan berlaku sepanjang bertugas membawa ambulans, van jenazah dan lori sampah di hospital.
“Malah kerjasama baik diberikan orang ramai yang memberi laluan ketika ambulans melalui kawasan perumahan dan kampung juga melancarkan pergerakannya membawa pesakit,” katanya.
Baginya, bekerja ketika Aidilfitri selain dipanggil bertugas sewaktu beraya antara pengorbanan yang perlu dilakukan dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab yang digalas.
Dia yang tinggal di kampung Pulau Kelapa di sini juga mengakui tugas sebagai pemandu di hospital amat mencabar kerana memerlukan fokus yang tinggi di jalan raya bagi menyelamatkan nyawa pesakit.
Apapun, dia gembira kerana dapat menyumbang kepada komuniti ketika mereka dalam kesedihan, kesukaran dan menghadapi saat genting.
Sumber: Harian Metro