“Hanya saya harapan untuk ma dan abah bergantung selepas mereka sakit serta memerlukan perhatian,” kata Nik Nor Naziha Abdullah, 25.
Menurut Nik Nor Naziha, dia yang sebelum ini bekerja di sebuah syarikat swasta di Shah Alam mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada Julai tahun lalu selepas ayahnya, Abdullah Ahmad, 65, diserang angin ahmar sebelah kanan badan akibat komplikasi penyakit darah tinggi.
“Ayah sebelum ini bekerja sebagai penjaja ikan untuk menampung keperluan harian namun kini tidak lagi mampu untuk keluar mencari rezeki disebabkan masalah kesihatannya.
“Dalam masa sama, ibu saya, Sharifah Zainab Syed Lazim Shah, 58, juga menderita penyakit saraf dan tulang belakang sejak 2008 dan hanya mampu bergerak secara berengsot,” katanya.
Nik Nor Naziha berkata, bagi menampung keperluan mereka tiga beranak, dia mula bekerja di sebuah kilang yang terletak di bandar Tanah Merah dengan pendapatan RM1,000 sebulan.
“Dengan pendapatan yang diperoleh itu, saya perlu bijak berbelanja dan ada ketikanya, kami terpaksa makan nasi kosong bersama budu untuk tempoh dua hingga tiga hari sementara menunggu gaji masuk.
“Kami tidak kisah makan ala kadar sahaja asalkan tidak berhutang atau menyusahkan sesiapa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Salak, di sini, semalam.
Katanya, sebelum ini, ibunya pernah mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM80 sebulan sebelum dinaikkan kepada RM120.
“Namun baru-baru ini wang bantuan yang diberikan itu tidak lagi dimasukkan.
“Bagi mendapatkan kepastian, saya berjumpa dengan pegawai JKM daerah Tanah Merah, namun saya dimaklumkan perlu membuat permohonan baharu dan perlu mendapatkan surat pengesahan daripada pihak hospital,” katanya.
Nik Nor Naziha yang juga anak tunggal berkata, wang simpanannya sebelum ini dihabiskan untuk kos perubatan ayahnya ketika dirawat di Hospital Tanah Merah selepas diserang angin ahmar dan tidak sedarkan diri selama beberapa hari.
“Terdapat gumpalan darah beku di bahagian kepala ayah dan doktor menyarankan pembedahan dilakukan, namun selepas berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pembedahan itu kerana risikonya akan menyebabkan ayah lumpuh dan hanya mampu terlantar.
“Selagi saya masih bernafas, saya akan terus cuba menjadi anak yang terbaik kerana hanya mereka ‘harta’ saya di dunia,” katanya.
VIDEO:
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan bantuan ke akaun Public Bank 6935807432 atas nama Nik Nor Naziha Binti Abdullah atau boleh menghubunginya di talian 013-4011731. – Harian Metro