Tuan Rumah Akan Diheret Ke Balai Jika Tetamu Datang Rentas Negeri Tanpa Kebenaran

ALOR GAJAH: Polis Melaka tidak teragak-agak mengheret pemilik kediaman ke balai polis sekiranya didapati menerima tetamu yang melakukan perjalanan rentas sempadan negeri tanpa kebenaran pada Hari Raya Aidilfitri ini.sajagempak.com - Tuan Rumah Akan Diheret Ke Balai Jika Tetamu Datang Rentas Negeri Tanpa Kebenaran

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, seramai 94 petugas pemantau akan dikerahkan di ketiga-tiga daerah di negeri itu bagi membuat pemeriksaan mengejut terhadap kediaman yang mempunyai jumlah kenderaan diparkir yang meragukan.

Beliau berkata, tidak dinafikan ada antara individu yang berusaha menipu pihak berkuasa untuk pulang ke kampung dengan memaklumkan mereka hanya merentas daerah memandangkan aktiviti itu dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Bagaimanapun, ujar Mat Kasim, pada musim perayaan ini, pintu-pintu masuk ke sempadan negeri itu terutama di plaza-plaza tol akan diperketatkan, memandangkan alasan berkenaan tidak masuk akal.

Ini kerana jelasnya, Melaka merupakan sebuah negeri yang kecil dan kebanyakan pengguna jalan raya cenderung memilih laluan persekutuan berbanding lebuh raya dengan mengambil kira faktor jarak antara daerah yang dekat.

“Jadi kita tahu negeri Melaka ini kecil dan laluannya pun agak mudah, tetapi bagaimanapun, di pintu-pintu masuk dan pintu keluar, contoh di tol Simpang Ampat ini, dua-dua belah kita akan jaga.

sajagempak.com - Tuan Rumah Akan Diheret Ke Balai Jika Tetamu Datang Rentas Negeri Tanpa Kebenaran

“Kita akan pastikan mereka ini mematuhi dan mempunyai permit yang sebenarnya. Janganlah cuba-cuba hendak melintasinya tanpa sebarang alasan yang kukuh.

“Sayang duit untuk bayar RM1,000, lebih baik digunakan untuk hari raya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau sekatan jalan raya di plaza tol Simpang Ampat, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini lapan sekatan jalan raya yang melibatkan 505 pegawai dan anggota dilaksanakan di Melaka termasuk di laluan-laluan pesisir pantai.

Ia bagi mengekang cubaan penyeludupan keluar dan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan laluan laut.

Dalam pada itu, ujar Mat Kasim, pihaknya turut menempatkan pasukan pemantau di pasar raya dan pasar-pasar awam di negeri ini sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan kesemua peniaga dan pengunjung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tegas beliau, individu yang dikesan ingkar terhadap arahan pihak berkuasa juga akan diberikan saman tanpa sebarang alasan. – Astro Awani

Facebook Comments Box