Bunyi macam pelik tapi benar, wanita yang dikenali sebagai Ally Opfer, 26 ini baru sedar dirinya hamil hanya 30 minit sebelum melahirkan bayinya pada tahun 2016.
Sebelum ini dia langsung tidak sedar dirinya hamil kerana ujian kehamilan yang pernah diambilnya sebelum ini menunjukkan keputusan negatif malah perutnya juga tidak membesar seperti wanita hamil yang lain.
Portal Mirror melaporkan dia menganggap kelahiran bayinya sebagai hadiah Krismas paling berharga.
Ibu muda dari Cleveland, Amerika Syarikat berkata, ketika itu, dia bersiap-siap untuk pergi ke latihan pasukan sorak.
Dia kemudian berasa sedikit pelik, tetapi enggan mempercayai ada yang sesuatu tidak kena dengan dirinya.
“Saya tidak menyangka saya hamil. Ya, haid saya tidak teratur, tetapi selalu seperti itu.
“Malah, berat badan saya juga tidak naik, letih atau pergerakan yang aneh. Perut saya rata dan tidak mungkin saya mempunyai bayi.
“Namun, kerana rasa sakit itu kerap datang, saya bersetuju untuk menjalani ujian kehamilan untuk memastikannya. Namun, ia (keputusan ujian) negatif, tetapi saya makin sakit,” katanya.
Menurutnya, beberapa jam kemudian, rasa sakit berkenaan tidak dapat ditanggung dan Ally bergegas ke hospital.
Dia mengatakan tiba-tiba berasa bimbang selepas doktor mengatakan kepadanya dia mempunyai ‘sesuatu’ dalam perutnya dan doktor bertanya sama ada dia menghidap kanser.
“Sebaik sahaja saya berkata ‘tidak’, dia menjawab, baiklah anda hamil kira-kira 38 minggu,” katanya.
Dia sangat terkejut, tetapi berjaya melahirkan anak lelaki pertama dalam keluarganya melalui pembedahan pada 21 Disember 2016.
Bayinya dinamakan Oliver, seberat 3.17 kilogram dan dilahirkan sihat. Bagaimanapun, berita kehamilan wanita itu hanya tular di media sosial, baru-baru ini.
Ally mengatakan, dia menyambut Krismas paling indah dalam hidupnya.
“Oliver kini berusia empat tahun, pintar dan menyeronokkan.
“Dia menjadikan saya ibu paling bahagia di dunia dan setiap kali menyambut Krismas ia menjadi hari istimewa kerana Oliver. Dia adalah hadiah Krismas terbaik,” katanya. – Harian Metro