27 saat sahaja! Ya, hanya 27 saat sahaja masa yang diambil oleh wanita ini untuk bersalin melahirkan anak atau lebih tepat lagi anak ketiganya.
Wanita Britain yang dikenali sebagai Sophie Bugg, 29, berkata, anak ketiganya, Millie lahir tanpa sebarang petanda semasa dia berada di dalam tandas di rumahnya baru-baru ini.
Wanita ini juga mendakwa dia telah mencatat masa sebagai wanita yang paling cepat bersalin di dunia ini.
“Saya dapat rasakan kelahiran ini paling pantas di dunia, hanya 27 saat dan sekali teran.
“Saya sendiri seperti tidak percaya ia berlaku,” katanya.
SOPHIE bersama anak ketiganya, Millie yang dilahirkan dalam tempoh 27 saat.
Pasukan paramedik tiba di rumah wanita itu di Basingstoke, England tidak lama kemudian dan membawa Sophie bersama bayinya ke hospital untuk rawatan lanjut.
Menurut Sophie, dia tidak bersedia dengan kelahiran itu kerana air ketubannya tidak pecah dan tiada sebarang kontraksi berlaku.
Wanita itu bercadang menghubungi Guinness World Records bagi mencatatkan rekod masa kelahiran yang dianggap terpantas di dunia itu.
“Meskipun saya lega kelahiran ini berlaku dengan pantas, saya agak terkilan kerana tidak sempat merasai detik yang biasa dilalui para ibu sebelum bersalin.
Menurut Sophie, semasa proses bersalin dua anaknya sebelum ini juga agak pantas iaitu 12 minit untuk anak pertama dan 26 minit untuk anak kedua.
Tambah Sophie Bugg lagi dia bercadang menghubungi Guinness World Records bagi mencatatkan rekod masa kelahiran yang dianggapnya sebagai yang terpantas di dunia pada masa ini.
Kredit: Kosmo