Seorang wanita diuji dengan satu penyakit aneh apabila perutnya semakin membesar dan membengkak. Jika orang meilhat penampilannya, pasti ramai beranggapan wanita ini sedang hamil namun sebenarnya bukan.
Menurut wanita yang dikenali sebagai Nur Nisah Husin, 51 ini, keadaan perutnya mula membengkak pada awal tahun dan pada mulanya dianggap sebab gastrik dan disahkan oleh doktor dan tukang urut.
Namun sejak bulan April lepas, perut nya semakin membesar dan berat badannya kemudian semakin menurun daripada 53 kg ke 35 kg. Nur Nisah bagaimanapun memberitahu perutnya tidak terasa sakit cuma sesekali rasa tegang dan seakan sesuatu timbul di pangkal ari-ari.
“Sepanjang sebulan sejak perubahan mendadak itu, saya hanya terlantar dan tiada selera makan, jika bangkit sekalipun hanya untuk solat sahaja”
ibu kepada tiga anak itu juga mengakui turut berjumpa dengan bidan kampung bertanyakan keadaan perutnya namun diberitahu oleh bidan kampung ianya kemungkinan disebabkan oleh peranakan bengkak dan angin medu.
Terdahulu, Nur Nisah menerima kunjungan daripada Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Che Norhayati Mohamed untuk menyampaikan sumbangan zakat dan barangan dapur.
“Bulan hadapan saya ada temujanji di hospital untuk menjalani rawatan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan berharap tiada apa-apa yang serius,” kata Nur Nisah.
Pada tahun lepas, keluarga ini diuji apabila kaki kanan anak kedua Muhammad Mikael Mizbani yang berusia 17 yang menghidap kanser tulang terpaksa dipotong sehingga ke paras pangkal paha. Anaknya yang akan menduduki SPM tahun ini bimbang kerana tidak membuat persediaan dan dirinya juga ketinggalan kerana tidak dapat bersekolah pada tahun lepas.
Meskipun begitu, Muhammad Mikael yang reda impiannya untuk menjadi atlet mungkin sudah terkubur namun dia tetap tekad untuk berusaha menebusnya dengan cemerlang dalam bidang akademik.
VIDEO:
Keluarga Nur Nisah kini bergantung kepada suaminya A Rahman Salikan, 51, dan anak-anak untuk melakukan kerja-kerja rumah. Buat sesiapa yang berhasrat untuk membantu keluarga ini boleh menghubungi Nur Nisah di talian 019-7498560.
Kredit: Harian Metro