Hanya kerana mahu kelihatan sepadan dengan pasangannya, wanita ini sanggup mengubah wajahnya dengan melakukan pembedahan plastik.
Hanoi: Mahu kelihatan sepadan bersama pasangannya yang muda, seorang wanita di Vietnam nekad melakukan pelbagai pembedahan plastik pada wajahnya.
Hoa Cuong Thu Sao, 62, sanggup melabur 61 juta rupiah (kira-kira RM17,695) untuk mengubah hidung serta bahagian matanya untuk kelihatan lebih menawan seperti wanita muda sebelum majlis perkahwinannya.
Bahkan, wanita itu sebelum ini pernah melakukan pembedahan plastik lain termasuk menghilangkan tatu serta merancang membuat rawatan awet muda bagi menegangkan kulit muka.
Menurut portal detik.com, Thu Sao sudah melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya yang berusia 26 tahun pada 2018.
Kisah keunikan percintaan mereka kembali tular di media sosial bersama gambar mereka.
Sementara itu, lapor VnExpress Thu Sao, wanita itu berkenalan dengan suaminya kerana lelaki itu menjadi pelanggan tetap kedai kopi miliknya.
Walaupun ramai mengecamnya namun akuinya dia seperti wanita lain juga memerlukan teman hidup.
Selain itu, sebuah media China melaporkan, perkahwinan mereka begitu utuh sampai hari ini, apabila wanita itu memuat naik hantaran di Facebook, khas untuk suaminya.
“Tiga tahun ini, ramai bertanya tentang hubungan kami dan ada yang mengecam, namun kami tetap bersama dan membuktikan cinta kami benar.
“Sekelip mata, tiga tahun berlalu dan setiap waktu yang kami lalui bersama begitu membahagiakan.
“Masa depan kami juga akan turut menyenangkan,” katanya.
Sumber: Harian Metro