Pelakon popular, Siti Elizad merancang untuk memulakan proses rawatan kesuburan In vitro fertilisation (IVF) bagi mendapatkan cahaya mata.
Elizad, 36, atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohamad Sharifuddin berkata rawatan itu perlu dilakukan tahun ini kerana bimbang sista berulang lagi.
“Saya pernah buat pembedahan sista dua kali. Saya juga pernah menjalani pembedahan membuang ovari sebelah kiri dan sekarang ada sebelah saja.
“Sebab itu tahun ini kalau boleh nak sangat mengandung dan berdoa Allah makbulkan doa saya. Sebab apa, keturunan keluarga saya semua kanser. Jadi, setiap kali sakit di bahagian pangkal rahim saya risau.
“InsyaAllah, tahun ini saya akan mulakan rawatan IVF. InsyaAllah, saya mencuba. Memandangkan sista dalam badan saya jenis aktif, jadi saya meletak di ovari lagi. Jadi, sebelum doktor buang lagi sebelah saya berharap Allah bagi saya seorang cahaya mata. Dapat seorang pun ia satu rahmat buat saya,” katanya dalam perkongsian menerusi program Curhat yang ditayangkan di saluran Astro Prima.
Menurut Elizad, selepas lima tahun berkahwin dengan suami, Shamsul Baharin Rahman, dia sudah lali persoalan mengenai anak.
“Kadang bukan keluarga atau pasangan, tapi apabila orang sekeliling dan netizen cakap saya tak berdoa dan beriya dalam soal ini, saya sedih.
”Saya tak pernah tunjuk sebab saya jenis ‘happy go lucky’. Apabila orang membandingkan suami saya yang sudah ada dua anak daripada perkahwinan sebelum ini dan saya tak ada zuriat, tentu saya sedih.
“Tapi orang sekeliling selalu tanya bila nak ada anak. Saya mana tahu. Saya bukannya Tuhan. Kalau ditanya, tentu saja saya nak anak. Ya Allah, tolong bagi saya satu,” katanya.
Pada program yang membawa tajuk Zuriat Syurga itu, Elizad turut meminta maaf pada suaminya sekiranya gagal memberikan zuriat.
“Saya bukan wanita sempurna. Walaupun dari segi luaran dia nampak saya seorang yang ceria, tapi andai kata saya tak mampu berikan dia zuriat, saya minta maaf,” katanya.
Program itu turut menampilan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan pelakon, Izzue Islam.
Sumber: Harian Metro