Anda mungkin masih ingat lagi awal bulan Mei lepas mengenai seorang wanita yang melahirkan anak kembar sembilan. Namun kali ini seorang wanita lain telah memecahkan rekod dunia dengan melahirkan anak kembar sepuluh.
Wanita yang dikenali sebagai Gosiame Thamara Sithole, 37, melahirkan bayi-bayi tersebut di Hospital Pretoria selepas doktor pada asalnya menjangkakan dia bakal melahirkan bayi kembar lapan.
Pada mulanya pasangan ini menyangkakan Sithole hamil kembar 8 seperti dikatakan doktor. Namun suaminya, Teboho Tsotetsi berkata, selepas menjalankan pembedahan, mereka terkejut apabila mendapati sebenarnya terdapat 10 orang bayi dalam kandungan Sithole. Bayi-bayi yang dilahirkannya terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan.
Mengakui terkejut dengan kelahiran bayinya, Sithole mengatakan diirnya hanya mampu berdoa agar proses kelahiran berjalan dengan lancar dan dirinya dan bayi-bayi selamat.
Sithole sebelum ini tidak pernah menjalani rawatan kesuburan dan kelahiran bayi-bayinya adalah melalui proses semulajadi. Timbalan Ketua Fakulti Perubatan di Universiti Sains Kesihatan Sefako Makgatho, Profesor Dini Mawela berkata, keadaan itu adalah sesuatu yang jarang berlaku untuk seorang wanita hamil dengan bilangan kembar yang ramai tanpa menjalani sebarang rawatan kesuburan.
“Apa yang menjadi bahaya kepada keadaan ini adalah keadaan di mana bayi-bayi tersebut tidak mempunyai ruang yang cukup di dalam rahim ibu, yang membawa kepada risiko mereka menjadi kecil.
Profesor Dini Mawela juga menjelaskan oleh sebab itu, para doktor mengambil keputusan untuk mengeluarkan bayi-bayi tersebut lebih awal kerana bimbang akan risiko jika mereka dibiarkan berada di dalam rahim lebih lama. Gosiame Thamara Sithole melahirkan bayi-bayinya ketika kandungan berusia tujuh bulan dan tujuh hari di Hospital Pretoria.
Gosiame Thamara Sithole juga kini pemegang Guinness World Records bagi kelahiran bayi yang paling ramai pecahkan rekod wanita dari Mali yang melahirkan kembar sembilan bulan Mei lepas.